Jangan pandang sebelah mata pelancong tempatan

Selagi pintu sempadan ditutup, pelancong asing bukan lagi keutamaan, sebaliknya tumpuan beralih kepada pelancong tempatan. - Gambar hiasan fail Bernama
Selagi pintu sempadan ditutup, pelancong asing bukan lagi keutamaan, sebaliknya tumpuan beralih kepada pelancong tempatan. - Gambar hiasan fail Bernama
A
A
A

MERAK Jalanan yakin rakyat menyokong langkah kerajaan menutup pintu sempadan negara bagi mengekang penularan koronavirus (Covid-19) walaupun sektor pelancongan akan terjejas.

Selagi pintu sempadan ditutup, pelancong asing bukan lagi keutamaan, sebaliknya tumpuan beralih kepada pelancong tempatan.

Namun, apabila rakyat tidak dibenarkan rentas negeri susulan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dikuatkuasakan di beberapa negeri, pelancongan domestik semakin terhimpit.

Sebelum ini Merak Jalanan melihat kebanyakan pengusaha produk pelancongan terlalu mengagungkan pelancong asing kerana dianggap lebih banyak bawa wang. Pelancong tempatan dipandang sebelah mata.

Lihat sahajalah di Langkawi, kebanyakan harga produk pelancongannya mengikut paras mata wang dolar berbanding ringgit.

Sekarang pengusaha pelancongan di sana mula tidak senang duduk kerana pendapatan mereka tidak lagi semewah dahulu dan meminta PKPB segera ditamatkan supaya pelancong tempatan dapat datang makan angin.

Merak Jalanan pernah berdepan dengan agensi pelancongan kerajaan yang memandang tinggi media atau akhbar bersifat antarabangsa untuk mempromosi sesuatu produk pelancongan kerana katanya mahu menarik pelancong mat saleh.

Sekarang apabila tiada pelancong asing, barulah mereka bertungkus-lumus berkempen untuk menarik perhatian pelancong tempatan.

Artikel Berkaitan:

Baguslah jika ada kesedaran mengutamakan pelancong tempatan tetapi janganlah dilakukan ketika Covid-19 disebabkan hanya itu pilihan yang ada untuk kelangsungan produk pelancongan domestik.

Merak Jalanan nak pesan, pelancong tempatan mempunyai semangat patriotisme yang tinggi untuk membantu pengusaha produk pelancongan, maka hargailah mereka.