Bukan perkara mudah untuk pinda Akta SPR

 Bekas Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihanraya (SPR), Datuk Seri Wan Ahmad Wan Omar menegaskan cadangan supaya wakil daripada parti yang sama secara automatik mengisi kekosongan jika berlaku kematian mana-mana wakil rakyat bukanlah sesuatu yang mudah untuk dilaksanakan.
Bekas Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihanraya (SPR), Datuk Seri Wan Ahmad Wan Omar menegaskan cadangan supaya wakil daripada parti yang sama secara automatik mengisi kekosongan jika berlaku kematian mana-mana wakil rakyat bukanlah sesuatu yang mudah untuk dilaksanakan.
A
A
A

SHAH ALAM - Bekas Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihanraya (SPR), Datuk Seri Wan Ahmad Wan Omar menegaskan cadangan supaya wakil daripada parti yang sama secara automatik mengisi kekosongan jika berlaku kematian mana-mana wakil rakyat bukanlah sesuatu yang mudah untuk dilaksanakan.

Beliau berkata, untuk melaksanakan cadangan supaya wakil daripada parti yang sama secara automatik mengisi kekosongan maka Perkara 54 Perlembagaan perlu dibuat sedikit pindaan.

“Jika kita lihat perkembangan semasa kini, cadangan yang diusulkan itu ada logiknya, bagi mengelakkan pembaziran wang rakyat dan untuk keselamatan nyawa rakyat dalam keadaan negara dilanda pandemik Covid-19.

“Namun, Perlembagaan perlu dipatuhi, melainkan undang-undang dipinda di mana-mana bahagian yang perlu," katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata demikian ketika ditanya berhubung gesaan Akta Suruhanjaya Pilihan Raya dikaji semula bagi membolehkan penyandang kerusi terus digantikan dengan wakil daripada parti sama secara automatik tanpa perlu sebarang Pilihan Raya Kecil (PRK) memandangkan negara sedang berdepan dengan ancaman Covid-19.

Kata beliau, mengisi kekosongan kerusi ada kelebihannya namun apa pun ia bergantung pada Perlembagaan di bawah Peruntukan Perkara 54 Perlembagaan Persekutuan atau Undang-Undang Tubuh Negeri.

“Tetapi dari sudut keadilan kepada parti-parti politik dalam sistem demokrasi berparlimen di negara kita, apabila berlaku kekosongan luar jangka dan jika kerusi perlu diisi, maka pada kebiasaannya kerusi itu diisi oleh seorang wakil rakyat yang baharu dan dipilih oleh rakyat.

“Maka wakil rakyat yang mewakili sesebuah parti itu akan diberi peluang untuk bertanding merebut kerusi yang kosong dan rakyat di kawasan terlibat mendapat peluang untuk memilih seorang wakil mereka yang baharu dalam usaha mengharapkan perkhidmatan lebih baik, dan ia berlaku secara adil,” katanya lagi.

Artikel Berkaitan:

Mengikut rekod, sebanyak 12 PRK diadakan selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) tidak termasuk PRK Batu Sapi, PRK Gerik dan PRK Bugaya.

Pada 2 Oktober lalu, Ahli Parlimen Batu Sapi, Datuk Liew Vui Keong, 60, meninggal dunia di Hospital Gleneagles, Kota Kinabalu akibat jangkitan paru-paru.

Isnin lalu, Ahli Parlimen Gerik, Datuk Hasbullah Osman, 62, meninggal dunia di Raub, Pahang kerana sakit jantung.

Terbaru, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bugaya, Manis Muka Mohd Darah, 65, menjadi wakil rakyat tidak sampai dua bulan selepas menghembuskan nafas terakhir di Hospital Gleneagles di Semporna, Sabah pada Selasa lalu.