Naik denda kesalahan tak pakai pelitup muka

India kini meningkatkan ujian saringan untuk mengesan Covid-19 selepas kes jangkitan mencecah hampir sembilan juta di negara itu. - Foto: AFP
India kini meningkatkan ujian saringan untuk mengesan Covid-19 selepas kes jangkitan mencecah hampir sembilan juta di negara itu. - Foto: AFP
A
A
A

NEW DELHI - Pihak berkuasa di ibu negara India menaikkan jumlah denda sebanyak empat kali ganda ke atas pesalah yang tidak memakai pelitup muka selepas lonjakan kes koronavirus (Covid-19) di bandar tersebut.

Langkah itu dibuat selepas Ketua Menteri Delhi mengumumkan individu yang melanggar peraturan ditetapkan akan dikenakan denda 2,000 rupee (RM110).

"Kita harus menjadi lebih tegas," kata Arvind Kejriwal selepas kes jangkitan di negara itu kini mencecah hampir sembilan juta orang dan yang kedua tertinggi di dunia.

Beliau juga memaklumkan jumlah tetamu di majlis perkahwinan akan dihadkan kepada 50 orang dan bakal meminta kuasa daripada kerajaan pusat untuk menutup pasar jika ia menjadi kawasan titik panas virus.

Pada minggu ini, jumlah kes di ibu negara telah melepasi 500,000 dengan peningkatan kes jangkitan harian dan kematian.

Selain itu, lebih 90 peratus kapasiti katil di unit rawatan intensif yang dilengkapi ventilator telah digunakan dan kebanyakan hospital di Delhi semakin sesak.

Krisis pandemik itu diburukkan lagi dengan pencemaran udara beracun selepas berakhirnya sambutan pesta cahaya atau Diwali pada akhir minggu lalu.

Sejak Jun lalu, hampir 500,000 sudah dikenakan saman kerana tidak memakai pelitup muka di Delhi, seramai 370,000 orang didenda kerana gagal mematuhi jarak fizikal dan 3,500 lagi berdepan tindakan sama kerana tabiat buruk meludah di tempat awam. - AFP

Artikel Berkaitan: