Kembalikan hak pencetakan wang

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

SHAH ALAM - Gerakan Keadilan Monetari Malaysia (MMJ) mencadangkan hak penciptaan wang di bawah sistem Wang Sovereign supaya diletakkan di bawah kawalan Parlimen.

Timbalan Pengerusi MMJ, Muhammad Zahid Abdul Aziz menjelaskan penciptaan Wang Sovereign ialah hak mencipta wang dipindah daripada bank-bank swasta dan diserah balik menjadi hak negara.

Menurutnya, terdapat sebuah gerakan reformasi yang besar berjuang mereformasi sistem monetari iaitu International Movement for Monetary Reform yang dianggotai badan-badan bukan kerajaan (NGO).

“Wang negara di bawah sistem Wang Sovereign akan ditujukan sepenuhnya kepada sektor ekonomi tampak yang akan mewujudkan pekerjaan dan 'output' ekonomi yang tinggi.

“Hal ini sekali gus menafikan berlakunya inflasi hiper atau bahkan inflasi umum seperti disalah anggap tanpa banyak usul periksa oleh individu tertentu,” katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.

Beliau berkata, Wang Sovereign juga disokong oleh Ketua Pengulas Ekonomi Financial Times UK, Martin Wolf dan diketengahkan oleh mantan Gabenor Bank of England Mervyn King; mantan Ketua Lembaga Perkhidmatan Kewangan England, Lord Adair Turner; serta Naib Presiden Bank Pusat Eropah, Vitor Constâncio.

“Antara kelebihan Sistem Wang Sovereign ialah pelaksanaan Dasar Monetari yang lebih berkesan, sistem pembayaran yang selamat yang tidak terikat dengan nasib bank dan dividen warganegara adalah lebih berkesan untuk merangsang ekonomi daripada mencuit kadar faedah.

“Ia juga menguncupkan jurang kemiskinan, menurunkan kebergantungan kepada hutang, meningkatkan pembiayaan untuk ekonomi sebenar khususnya sektor perusahaan kecil dan sederhana (PKS), menurunkan harga rumah, inflasi sifar dan mengurangkan kadar pengangguran graduan serta memperkukuh ekonomi negara,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Muhammad Zahid juga mencadangkan Bank Negara Malaysia (BNM) dikeluarkan dari Kementerian Kewangan Malaysia dan diletakkan di bawah kawalan Jawatankuasa Monetari Parlimen untuk mengelakkan kemungkinan salah guna kuasa pihak pemerintah.

Menurutnya, BNM hanya menghasilkan lima peratus jumlah wang negara dalam bentuk wang kertas dan duit syiling, manakala selebihnya dicipta oleh pihak bank dalam bentuk nombor dalam akaun bank apabila mereka memberi pinjaman atau pembiayaan.

“Sebanyak 84 peratus pinjaman bank di dunia dihalakan kepada pinjaman peribadi, kad kredit, perumahan, harta tanah komersial dan sektor kewangan, sementara hanya 16 peratus sahaja ke ekonomi tampak atau ekonomi sebenar.

“Hal ini menimbulkan inflasi paling teruk yang terpaksa ditanggung oleh golongan miskin,” katanya.

Beliau berkata, pekerjaan yang dihasilkan oleh sektor PKS hanya menyumbang kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak antara 60 hingga 80 peratus.

Pengangguran graduan dan anak muda berlaku apabila pinjaman bank yang dihalakan kepada sektor PKS terlalu kecil.

Beliau menjelaskan, kepincangan yang berlaku antara negara dengan kepentingan bank-bank di Malaysia sekarang adalah apabila bank yang memberi pinjaman merupakan bank yang sama menjalankan sistem pembayaran.

“Walaupun dasar-dasar yang diperkenalkan menjejaskan kepentingan rakyat, namun ia dilihat disantuni oleh pihak pemerintah untuk memastikan sistem pembayaran tidak terjejas.

“Kami mencadangkan bank-bank dibahagikan kepada dua aliran iaitu bank pembayaran yang mengendalikan sistem pembayaran negara tanpa keupayaan memberi pinjaman dan bank pelabur yang melabur atau memberikan pembayaran tanpa terlibat dalam sistem pembayaran.

“Hal ini sekaligus akan mematikan keupayaan bank-bank untuk mencipta wang,” katanya.