X

Kindly register in order to view this article
!

AS mahu label produk 'buatan Israel'

Produk keluaran Palestin kini perlu ditanda 'Tebing Barat' atau dilabel 'Gaza'. - Foto: Agensi
A
A

WASHINGTON - Amerika Syarikat (AS) akan melabel barangan import daripada kawasan penempatan haram Yahudi di Tebing Barat sebagai 'buatan Israel' di bawah langkah kontroversi terbaharu menjelang penggal akhir pentadbiran Presiden Donald Trump.

Keputusan itu bermakna pentadbiran Presiden ke-45 AS itu yang merupakan sekutu kuat Israel tidak lagi mengiktiraf produk yang berasal dari wilayah Palestin.

Kenyataan provokasi itu dikeluarkan Setiausaha Negara AS, Mike Pompeo hari ini yang seakan-akan menyokong pendudukan rejim Zionis di wilayah Palestin.

"Kesemua pengeluar dalam kawasan dikuasai Tel Aviv perlu menandakan barangan mereka sebagai 'produk Israel' atau 'buatan Israel' apabila mahu mengeksport ke AS," katanya.

Menurutnya, garis panduan baharu kontroversi itu perlu diguna pakai terutamanya di Kawasan C di Tebing Barat yang dikawal Israel dan mempunyai populasi besar pendatang haram Yahudi.

Difahamkan, Kawasan C juga meliputi lokasi strategik Lembah Jordan yang didiami komuniti Palestin yang turut menjadi wilayah pertikaian dengan Israel.

Pompeo juga mengumumkan garis panduan baharu untuk barangan eksport dari kawasan Tebing Barat yang dikawal Pihak Berkuasa Palestin (PA).

"Produk terbabit perlu ditanda 'Tebing Barat' manakala barangan dari Gaza yang dikuasai Hamas pula akan dilabel 'Gaza'," katanya.

Jelas Pompeo, langkah itu kononnya perlu kerana pengasingan pentadbiran dan sistem politik di Gaza dan Tebing Barat.

Sebelum ini, Palestin sering melihat pentadbiran Trump sebagai berat sebelah apabila membabitkan isu hak penduduk Palestin hingga ia memutuskan untuk memutuskan hubungan dengan Washington.

Sementara itu, bakal Presiden ke-46 AS, Joe Biden berjanji beliau akan memulihkan pendekatan yang lebih tradisional kepada konflik Israel-Palestin termasuk menolak projek penempatan haram Yahudi.

Ketika ini, terdapat kira-kira 450,000 pendatang Yahudi yang tinggal di Tebing Barat bersama lebih 2.7 juta penduduk Palestin. - AFP


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!