4,727 PKS lulus pembiayaan Penjana berjumlah RM996.9 juta

TENGKU ZAFRUL
TENGKU ZAFRUL
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan meluluskan 4,727 permohonan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dengan nilai pinjaman sebanyak RM996.9 juta untuk menyokong perniagaan di bawah Pembiayaan PKS Penjana sehingga 6 November 2020.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata, bagi Pembiayaan Sektor Pelancongan Penjana, kerajaan menerima 461 permohonan daripada PKS.

Pakej pembiayaan itu menawarkan kadar pembiayaan sebanyak 3.5 peratus bagi membantu usahawan sektor pelancongan dari segi modal kerja dan perbelanjaan modal sehingga 7 tahun bagi tempoh pembiayaan.

“Daripada jumlah ini sebanyak 196 permohonan telah diluluskan dengan jumlah pembiayaan sebanyak RM39.8 juta,” katanya.

Tengku Zafrul berkata demikian dalam laporan Unit Pelaksanaan dan Koordinasi Stimulus Ekonomi Antara Agensi Nasional (LAKSANA) ke-29 mengenai pelaksanaan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin), Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) dan Pakej Rangsangan Ekonomi Kita Prihatin (Kita Prihatin) yang dikeluarkan hari ini.

Mengenai Skim Pemulihan Perniagaan Tekun (TBRS), beliau berkata, sebanyak RM82.61 juta telah disalurkan di bawah TBRS yang telah memanfaatkan 12,403 PKS setakat 6 Nov, 2020.

Ia juga menyalurkan sebanyak RM184.6 juta bagi memanfaatkan 5,181 PKS Mikro merangkumi bidang peruncitan dan perkhidmatan di bawah Pembiayaan Kredit Penjana Mikro di bawah Bank Simpanan Nasional.

Sementara itu, bagi merangsang ekonomi, sokongan terhadap industri pertanian dan makanan disediakan menerusi suntikan pembiayaan serta menyediakan modal pusingan untuk petani, peladang dan nelayan dengan peruntukan RM400 juta, yang mana RM350 juta diperuntukkan di bawah Pembiayaan Kredit Mikro Agrobank.

Artikel Berkaitan:

Setakat 6 November 2020, sebanyak RM41.4 juta telah disalurkan kepada 4,677 PKS mikro pertanian di bawah pakej pembiayaan ini.

Sebagai langkah memastikan sektor pelancongan dan perhotelan dapat bertahan dan kembali pulih seperti sediakala, kerajaan telah bersetuju memberikan lanjutan pengecualian cukai perkhidmatan ke atas perkhidmatan penginapan yang dikendalikan oleh pengendali premis penginapan mulai 1 September 2020 hingga 30 Jun 2021.

Setakat 6 November 2020, nilai pengecualian cukai yang telah dimanfaatkan oleh pengendali premis penginapan telah mencecah nilai RM727.4 juta.

Bagi tempoh yang sama, nilai pengecualian duti eksport yang berjaya dimanfaatkan oleh industri negara ialah sebanyak RM301.1 juta. Kerajaan juga memberikan pengecualian 100 peratus duti eksport kepada sektor komoditi bagi membantu memudahkan para pekebun kecil untuk menjual hasil keluaran mereka kepada kilang.

Sementara itu Tengku Zafrul berkata, Skim Peduli Kesihatan untuk Kumpulan B40 (PEKA B40) bagi menampung keperluan kesihatan seperti pengesanan awal untuk penyakit tidak berjangkit kerajaan menerima 146,433 tuntutan dengan jumlah RM12.76 juta antara tempoh 1 Julai sehingga 6 November 2020.

Bagi Program Subsidi Upah (PSU), sebanyak RM12.255 bilion subsidi upah telah diluluskan yang memanfaatkan lebih 322,177 majikan serta lebih 2.640 juta pekerja.

“Sebagai peringatan, majikan masih boleh memohon untuk PSU 2.0 di bawah Pakej KITA PRIHATIN yang dibuka sehingga 31 Disember 2020,” katanya.

Beliau juga berkata bagi Program Insentif Pengambilan Pekerja dan Bantuan Latihan, seramai 74,141 pekerja (peningkatan daripada 70,113 minggu lalu) telah berjaya mendapat pekerjaan melalui program ini.

Jumlah ini merangkumi 59,539 orang di bawah umur 40 tahun, 9,370 individu berusia di antara 40 hingga 60 tahun, serta 336 orang kelainan upaya (OKU) dan 4,896 perantis, katanya.

Bagi Program Kemahiran dan Peningkatan Kemahiran, seramai 115,876 individu telah diluluskan (peningkatan daripada 106,047 minggu lalu) untuk mengambil bahagian dalam program-program yang disediakan. - Bernama