X

Kindly register in order to view this article
!

Usaha Trump sia-sia

Kempen Trump sanggup menanggung kos berjumlah jutaan dolar untuk proses kiraan semula undi tersebut demi memastikan beliau dapat mengekalkan jawatannya di Rumah Putih. - Foto AFP
A
A

WASHINGTON - Drama politik di Amerika Syarikat (AS) masih belum reda selepas dua minggu Pilihan Raya Presiden AS 2020 berlangsung dengan penuh kontroversi.

Sehingga kini, Trump yang masih mempunyai baki penggal pemerintahan kira-kira dua bulan masih enggan mengakui kekalahannya dan beliau dilihat sengaja mencari alasan untuk menangguhkan langkah penyerahan kuasa kepada bakal Presiden ke-46 AS, Joe Biden meskipun kemenangannya diiktiraf di seluruh dunia.

“Saya menang pilihan raya. Penipuan undi berlaku di seluruh negara!" ujar bilionair hartanah itu berulang kali di Twitter sejak 3 November lalu tanpa mempunyai bukti sahih untuk menyokong dakwaan itu.

Susulan itu, proses kiraan semula undi akan dilakukan di negeri- negeri yang dirampas Demokrat pada pemilihan itu seperti yang dituntut kempen Trump.

Presiden ke-45 AS itu bagaimanapun perlu membatalkan keputusan di tiga negeri besar yang menentukan pemenang dalam perlumbaan untuk merebut jawatan di Rumah Putih tersebut.

Usaha bilionair hartanah terbabit yang menuntut proses menghitung semula undi seperti sia-sia dan buang masa walaupun keputusan akhir menunjukkan Biden memperoleh 306 undi elektoral berbanding 232 yang diraih olehnya.

Pegawai pilihan raya di Georgia memaklumkan proses kiraan semula undi yang dijangka diumumkan pada esok tidak akan mengubah keputusan awal yang menyaksikan Biden mendahului dengan margin 14,000 undi.

Di Wisconsin, pegawai pilihan raya di negeri tersebut pula menyatakan proses menghitung semula undi di daerah terbesar yang mempunyai penyokong pro Demokrat hanya akan menambah margin 20,000 undi kepada Biden.

Suruhanjaya Pilihan Raya Wisconsin mengesahkan mereka akan mengawasi prosedur dijangka mengambil masa kira-kira dua minggu itu yang akan dilakukan di Milwaukee dan Dane termasuk Madison selepas kempen Trump sanggup menanggung kos anggaran keseluruhan AS$7.9 juta (RM32.4 juta) semata-mata untuk melakukan kiraan semula undi tersebut.

Sebelum ini, keputusan di Wisconsin menunjukkan Biden mendahului dengan lebih 20,000 undi atau 49.5 peratus berbanding 48.8 peratus diraih Trump.

Kelmarin, peguam Presiden ke-45 AS itu, Rudy Giuliani turut menerima tamparan hebat selepas dicabar oleh hakim di Pennsylvania untuk mengemukakan bukti berhubung dakwaan berlaku penipuan undi seperti didakwa mereka.

Sehingga kini, pegawai pilihan raya negeri dan persekutuan bersama pakar asing menolak dakwaan Trump kononnya pilihan raya itu telah ‘dicuri’ daripadanya dan tuduhan tidak berasas tentang berlaku penipuan undi. - Agensi

Info:

-Angka rasmi dikeluarkan semalam menunjukkan Biden mendahului Trump dengan 5.8 juta daripada lebih 155 juta undi yang dikira.

-Kempen Trump diberikan tempoh sehingga 8 Disember ini untuk menyelesaikan kesemua isu yang dipertikaikan mereka. Keputusan rasmi akan disahkan apabila Badan Perwakilan Pemilih AS adakan pertemuan pada 14 Disember depan.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!