Nasib pekerja kontrak harus dibela: JPKK

JPKK berharap supaya pekerja-pekerja kontrak dapat diserapkan sebagai pekerja tetap.
JPKK berharap supaya pekerja-pekerja kontrak dapat diserapkan sebagai pekerja tetap.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Jaringan Pekerja Kontrak Kerajaan (JPKK) menggesa agar kerajaan membela nasib pekerja kontrak dan menyerap mereka yang bekerja secara kontrak di premis kerajaan sebagai pekerja tetap.

Setiausaha JPKK, Sivaranjani Manickam berkata, menjadi harapan JPKK supaya pekerja-pekerja kontrak seperti pekerja pembersihan dan pengawal keselamatan di sekolah mahupun di hospital dapat diserapkan sebagai pekerja tetap.

"Kami harap kerajaan dapat mengurangkan pembaziran dan tingkatkan cekapkan pentadbiran," katanya pada sidang akhbar Pelancaran Kempen Hapus Sistem Kontrak di Facebook JPKK hari ini.

Sementara itu, Pegawai Perhubungan Perusahaan Kesatuan Pekerja Swasta Hospital Kerajaan (PSHK) Danaletchimi Langaswaran berkata, sistem kontrak sedia ada sangat tidak adil kepada pekerja kontrak.

"Faedah pekerja kontrak yang sudah bekerja selama 20 tahun, sama sahaja dengan faedah yang diperoleh pekerja tetap baharu,” katanya menambah kerajaan diharap dapat mengiktiraf pekerja pembersihan sebagai 'frontliners' supaya mereka layak mendapat bantuan yang diperuntukkan dalam Belanjawan 2021.

Dalam pada itu, Koordinator JPKK Johor Yusni Mahnyok yang juga seorang pengawal keselamatan berkata pekerja kontrak juga seolah-olah tidak mempunyai hak untuk bersuara meskipun telah lama bekerja. - Bernama

Artikel Berkaitan: