Tiada pengeluaran tidak terkawal oleh pemegang unit PNB: Zeti

Zeti Akhtar Aziz
Zeti Akhtar Aziz
A
A
A

KUALA LUMPUR - Permodalan Nasional Bhd (PNB) tidak melihat sebarang pengeluaran yang tidak terkawal oleh pemegang unitnya walaupun situasi ekonomi sukar pada masa ini, kata Pengerusi Kumpulan, Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz.

“Pada masa ini, kami melihat ia (pengeluaran) kekal stabil dan kami tidak melihat sebarang pengeluaran yang tidak terkawal. Dari masa ke masa, ya, kami melihat terdapat pengeluaran tetapi ini kekal stabil bagi kami,” katanya pada sidang akhbar secara maya pada majlis pelancaran Minggu Saham Digital hari ini.

Ia dianjurkan oleh PNB, Minggu Saham Digital pada tahun ini diadakan secara maya mulai 18 hingga 24 November.

Pada masa ini, aset di bawah pengurusan (AUM) PNB melebihi RM300 bilion nilai unit dalam edaran, dilanggan oleh 14.28 juta akaun sehingga 31 Disember 2019.

Portfolio pelaburan strategiknya dalam syarikat korporat terkemuka di Malaysia, ekuiti global, pelaburan swasta dan hartanah.

Bersetuju dengan pandangan bekas Gabenor Bank Negara Malaysia itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PNB Ahmad Zulqarnain Onn berkata, kumpulan pengurusan dana itu gembira walaupun situasi semasa mencabar, ia tidak menyaksikan sebarang trend yang berbeza tentang cara rakyat melabur.

“Ini amat baik. Ia adalah bukti bagaimana kita menjalankan perniagaan dan bagaimana rakyat melihat kita.

“Dana PNB adalah untuk simpanan jangka panjang dan pelaburan jangka panjang serta kita tidak melihat sebarang perbezaan dari segi trend pada tahun ini,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Mengenai pelan kepelbagaian dalam persekitaran cabaran semasa, Zeti berkata, ini akan kekal sebagai sasaran teras PNB.

“Kami akan terus meningkatkan portfolio antarabangsa kami tetapi ini akan dilakukan secara berperingkat dan bertanggungjawab serta berhati-hati berdasarkan pasaran di hadapan kami yang amat tidak stabil dan tidak dapat dijangka.

“Kami melihat kepada trend asas, prospek pelaburan, prospek industri secara keseluruhan dan sektor pelaburan itu dalam ekonomi negara yang berkaitan. Itu adalah cara kami melaksanakannya,” katanya.

Beliau berkata, berdasarkan tahun semasa yang tidak menentu dan mencabar, pembayaran dividen yang akan datang akan mencerminkan prestasi dananya.

“Kami akan melabur untuk memberikan pulangan yang terbaik dan paling kompetitif, tetapi kami menyedari bahawa ini adalah tahun yang amat tidak menentu dan mencabar.

“(Bagaimanapun), kami adalah pelabur jangka panjang dan kami mahu mengekalkan pulangan yang mampan dan pembayaran yang realistik kepada pemegang unit kami,” katanya. - Bernama