Isu penduduk bantah gerai tepi jalan selesai

Wakil penduduk bersama pegawai Pejabat Menteri Wilayah Persekutuan serta Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengadakan lawatan di gerai berhampiran.
Wakil penduduk bersama pegawai Pejabat Menteri Wilayah Persekutuan serta Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengadakan lawatan di gerai berhampiran.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Keluhan penduduk di lima taman perumahan berhubung kegiatan gerai penjaja di tepi jalan menemui jalan penyelesaian menerusi rundingan hari ini.

Taman perumahan berkenaan ialah Taman Melewar, Taman Koperasi Polis Fasa 1, Taman Changkat Desa/Melewar 2, Taman Rowther dan Taman Karak Utama.

Sebelum ini penduduk membuat aduan berikutan kewujudan penjaja yang berniaga di hadapan taman perumahan mereka berikutan pelaksanaan program 'Wilayah Bebas Berniaga'.

Bagaimanapun, hari ini persetujuan dicapai menerusi perjumpaan bersama Pejabat Menteri Wilayah Persekutuan, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Gabungan Persatuan Penduduk Lima Taman apabila penduduk membenarkan penjaja meneruskan aktiviti mereka di situ.

Wakil penduduk bersama pegawai Pejabat Menteri Wilayah Persekutuan dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengadakan perbincangan di Dewan Komuniti Desa Changkat, Kuala Lumpur hari ini.
Wakil penduduk bersama pegawai Pejabat Menteri Wilayah Persekutuan dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengadakan perbincangan di Dewan Komuniti Desa Changkat, Kuala Lumpur hari ini.

Pengerusi Gabungan Persatuan Penduduk Lima Taman, Datuk Gazali Harun berkata, penduduk difahamkan penjaja berkenaan menjalankan perniagaan dalam tempoh sementara sahaja.

"Tambahan dengan pandemik Covid-19 ini, ramai yang mencari pendapatan. Salah satunya ialah dengan berniaga.

"Kita tiada masalah tentang itu, cuma kita berharap masalah seperti isu kesesakan lalu lintas dan kebersihan dapat dikawal selia dengan sebaiknya agar tidak menimbulkan sebarang masalah," katanya selepas sesi perbincangan tersebut yang berlangsung di Dewan Komuniti Desa Changkat di sini hari ini.

Artikel Berkaitan:

Gazali berkata, sebelum ini penduduk meluahkan rasa tidak puas hati kerana terdapat segelintir gerai peniaga yang menimbulkan masalah.

"Sebelum ini kita buat aduan sebab ada sebahagian penjaja letak gerai mereka sehingga menghalang pandangan," katanya.

Beliau bagaimanapun berkata, perbincangan hari ini menyaksikan peniaga bersetuju untuk mengubah kedudukan gerai ke hadapan sedikit agar tidak mengganggu lalu lintas.

"Pada masa sama kita juga mahu isu kebersihan diambil perhatian. Dalam erti kata lain, perlu kemas barang niaga dan harus pastikan tempat yang dijalankan perniagaan itu bersih," katanya.

Sementara itu, Pegawai Khas Menteri Wilayah Persekutuan, Musa Sabri Ab Sattar berkata, pihaknya hadir bagi mendengar mengenai keluhan daripada penduduk yang terlibat.

"Kita menerima aduan berkaitan perkara ini. Menerusi perbincangan dengan mengambil kira pandangan serta pendapat kedua-dua pihak, kita dapat penyelesaian.

"Dalam soal ini, kita mahukan keadilan untuk kedua-dua belah pihak sama ada penduduk dan penjaja. Masalah berkaitan trafik dan soal kebersihan tapak kita bincangkan sebaiknya," katanya.

Menurutnya, pihaknya juga mencadangkan kepada penduduk supaya berunding sekiranya ada masalah selepas ini.

"Kita harapkan perbincangan akan datangkan persefahaman supaya isu ini tidak beri masalah antara satu sama lain," katanya.

Sebelum ini, beberapa wakil penduduk mendakwa inisiatif program 'Wilayah Bebas Berniaga' hanya mengundang masalah buat masyarakat setempat termasuk bunyi bising dan gangguan di laluan keluar masuk taman perumahan.