Johor wajibkan pemaju sedia infrastruktur telekomunikasi

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

ISKANDAR PUTERI - Kerajaan Johor akan mewajibkan infrastruktur telekomunikasi disediakan pemaju projek pembangunan di negeri ini bagi memperluaskan lagi jaringan internet kepada penduduk.

Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad berkata, langkah terbaharu itu akan dimasukkan dalam arahan kebenaran merancang melibatkan setiap pemaju.

"Kita akan berbincang dengan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan serta pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk merangka peraturan ini dalam masa terdekat.

"Infrastruktur telekomunikasi bagi jaringan internet kini cukup penting sama seperti kemudahan asas seperti air dan elektrik," katanya pada sidang akhbar secara maya selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Digital Johor di sini hari ini.

Sementara itu, Hasni berkata, sebanyak 78 menara telekomunikasi akan dibina di seluruh negeri pada tahun depan.

Beliau berkata, pembinaan lebih banyak menara komunikasi itu akan memperluaskan lagi capaian internet terutama kepada para pelajar berikutan penutupan sekolah akibat Covid-19.

Menurutnya, pihaknya mengambil maklum masalah dan kekangan akses pelajar khususnya yang bakal menduduki Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Pelajaran Tinggi Malaysia (STPM) pada tahun depan.

"Pelbagai bantuan akan disalurkan bagi membantu pelajar seperti Kumpulan Prasarana Rakyat Johor telah menyediakan alat peranti kepada para pelajar sekolah, manakala Yayasan Raja Zarith Sofia pula memberikan komputer riba kepada pelajar daripada kumpulan B40.

Artikel Berkaitan:

"Malah kerajaan negeri juga mengarahkan agar jaringan wifi diperluaskan kepada seluruh kawasan dan mahu ia dilaksanakan segera," katanya.