9,167 kes positif Covid-19 dikesan menerusi MySejahtera


DR NOOR HISHAM
DR NOOR HISHAM
A
A
A

PUTRAJAYA - Sebanyak 9,167 kes positif Covid-19 berjaya dikesan menerusi aplikasi MySejahtera.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dalam kenyataannya berkata, secara puratanya, kes yang dikesan adalah 18.2 hingga 44.3 peratus.

"Peratusan berubah dari masa ke masa kerana ia bergantung kepada jumlah kes harian serta jumlah kes yang menggunakan MySejahtera," katanya.

Menurutnya, untuk tujuan pengesanan kontak, data MySejahtera yang diperlukan akan disalurkan kepada pusat kesihatan daerah (PKD) untuk membantu aktiviti lapangan.

"Data tersebut akan dianalisa bersama￾sama dengan penemuan siasatan lapangan dan seterusnya menyumbang kepada aktiviti pengesanan kontak," katanya.

Beliau berkata, data-data pengesanan kontak dikumpul melalui modul MySejahtera Check-In di mana rekod kehadiran pengunjung disimpan melalui imbasan kod QR yang dipaparkan di semua premis.

"Sebagai contoh, untuk Kluster Utama, seramai 17,260 pengguna telah dikenal pasti melalui aplikasi MySejahtera sebagai pengunjung ke pusat membeli belah terlibat dalam suatu tempoh masa tertentu.

"Daripada jumlah itu, seramai 1,343 individu telah dikenal pasti untuk penilaian lanjut oleh PKD, di mana 457 orang telah disahkan sebagai kontak rapat kepada kes positif Kluster Utama," katanya.

Artikel Berkaitan:

Dr Noor Hisham berkata, ujian persampelan seterusnya mengesahkan seramai 221 kes positif Covid-19 daripada 457 individu yang merupakan kontak rapat.

"Daripada 236 kes positif Covid-19 bagi Kluster Utama yang diumumkan pada hari sama, 221 kes adalah berjaya dikesan menggunakan aplikasi pintar MySejahtera," katanya.

Tambahnya, aplikasi MySejahtera menerapkan ciri-ciri keselamatan yang mematuhi piawaian global untuk melindungi kerahsiaan dan keselamatan data.

"Data yang dikumpul melalui Mysejahtera adalah bagi tujuan pengesanan kontak sahaja dengan punca kuasa di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 dan Akta Perubatan 1971.

"Maklumat peribadi pengguna yang dikumpulkan juga dilindungi oleh Akta Perlindungan Data Peribadi 2010," katanya.

Menurutnya, Data Check-In yang dikumpulkan akan diarkibkan selepas 30 hari dan akan dihapuskan selepas 90 hari.

Aplikasi MySejahtera dilancarkan pada 20 April lalu bagi membantu pengurusan pandemik Covid-19.

Sejak ia dilancarkan sehingga hari ini, MySejahtera telah berjaya mencapai 23,953,970 pengguna serta tanggungan yang berdaftar dan 1,058,853 premis perniagaan berdaftar.

Setakat ini, MySejahtera telah merekodkan 1.7 bilion jumlah kumulatif check-in ke premis-premis berdaftar menggunakan imbasan kod QR dengan purata 15 juta check-in sehari.

Selain itu, ia juga telah membantu merungkai 523,000 persoalan pengguna.

Aplikasi ini telah berjaya mendapat penarafan 4.7 bintang di dalam aplikasi Apple Store dan Google Playstore.