X

Kindly register in order to view this article
!

Covid-19: Operasi kilang perlu dihenti sementara

Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow
A
A

GEORGETOWN - Langkah menghentikan sementara operasi beberapa buah kilang di kawasan Zon Perindustrian Bebas Bayan Lepas di sini perlu bagi memutuskan rantaian penularan Covid-19 serta mengelakkan keadaan menjadi lebih buruk.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berkata, penutupan sementara kilang itu perlu dilakukan biarpun ia bakal memberi impak dan menyebabkan kerugian besar.

"Kita memahami operasi kilang itu akan terganggu selama beberapa hari atau beberapa minggu berikutan perlu menjalankan proses sanitasi dan sebagainya.

"Tetapi kerajaan negeri berpandangan langkah ini adalah baik kerana jika wabak Covid-19 tidak dapat dikawal dan menjadi lebih teruk, Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mungkin akan dilaksanakan yang mana akan menyebabkan operasi kilang terjejas lebih teruk," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Kon Yeow mengulas laporan media berhubung sekurang-kurangnya lima buah kilang di kawasan zon perindustrian bebas itu terpaksa ditutup akibat wabak Covid-19 sekali gus menyebabkan kerugian jutaan ringgit yang turut memberi kesan kepada ekonomi negeri ini.

Beliau berkata sebelum ini pihaknya telah berhubung dengan penggiat industri di zon berkenaan berhubung keperluan mengetatkan prosedur operasi standard (SOP) di kilang masing-masing dan ia diterima baik serta difahami oleh pihak kilang.

"SOP yang perlu diperketatkan itu bukan sahaja melibatkan kawasan kilang tetapi perlu juga melihat keselamatan pekerja ketika di asrama serta ketika dalam perjalanan ke tempat kerja. Kita berharap langkah yang diambil ini dapat memutuskan rangkaian jangkitan Covid-19 khususnya melibatkan pekerja kilang," katanya. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!