X

Kindly register in order to view this article
!

Covid-19: Sabah, Selangor catat kes tertinggi

Sebanyak 1,290 kes jangkitan baharu Covid-19 dilaporkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini.
A
A

PUTRAJAYA - Sebanyak 1,290 kes jangkitan baharu koronavirus (Covid-19) dilaporkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, peningkatan itu menjadikan jumlah keseluruhan kes sebanyak 51,680 dan kes aktif adalah 13,222 kes.

Menurutnya, Sabah dan Selangor merekodkan kes tertinggi dengan masing-masing mencatatkan 660 dan 407 kes.

"Pelaporan kes yang tinggi di Sabah berpunca daripada kluster-kluster berkaitan Pusat Tahanan Sementara (PTS), lokap dan penjara iaitu 250 kes.

"Peningkatan kes di Selangor pula berpunca daripada Kluster Teratai dengan 245 kes dan Kluster Kapas 55 kes," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, kedua-dua kluster tersebut adalah kluster berkaitan tempat kerja yang melibatkan bukan warganegara.

Beliau berkata, sebanyak 269 kes yang dilaporkan adalah berkaitan kluster-kluster di Pusat Tahanan Sementara (PTS), lokap dan penjara yang membabitkan Kluster Penjara Sandakan (218 kes), Kluster Matambai (15 kes), Kluster Tembok (15 kes), Kluster Penjara Kepayan (9 kes), Kluster PTS Tawau (6 kes), Kluster Benteng PK (3 kes), Kluster GK Tawau (2 kes), dan Kluster Penjara Seberang Perai (1 kes).

"Terdapat lima kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara dan 1,285 kes pula adalah merupakan penularan Covid-19 dalam negara," katanya.

Dr Noor Hisham berkata, seramai 110 pesakit dirawat di unit rawatan rapi (ICU) di mana 37 daripadanya memerlukan bantuan pernafasan.

Menurutnya, KKM merekodkan pertambahan empat kes kematian berkaitan Covid-19 dan ini menjadikan jumlah kumulatif kematian meningkat kepada 326 kes.

"Berdasarkan ringkasan, dua kes kematian dilaporkan di Sabah dan masing-masing satu di Johor dan Perak.

"Pesakit berusia 29 hingga 62 tahun yang mempunyai latar belakang penyakit kronik," katanya.

Katanya, KKM mencatatkan 878 kes pulih sepenuhnya.

"Jumlah kumulatif kes pulih adalah 38,132 kes iaitu bersamaan 73.8 peratus daripada jumlah keseluruhan kes," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!