Tidak pakai pelitup muka rekod kesalahan tertinggi: Ismail Sabri

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seramai 108 individu dikenakan tindakan kerana tidak memakai pelitup muka sekali gus mencatat jenis kesalahan tertinggi direkodkan berkaitan kesalahan mengingkari arahan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) semalam.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, jumlah itu sebahagian daripada keseluruhan 289 individu yang dikenakan tindakan semalam, dengan 277 daripada mereka dikenakan kompaun diikuti 11 direman dan seorang dibebaskan dengan jaminan.

Beliau berkata, sebanyak 59 individu pula dikenakan tindakan kerana gagal mematuhi penjarakan fizikal, gagal menyediakan peralatan merekod butiran diri (51), rentas negeri/daerah Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) tanpa kebenaran pihak berkuasa (38) dan lain-lain (33).

"Tindakan diambil hasil pemeriksaan Pasukan Petugas Khas Operasi Pematuhan prosedur operasi standard (SOP) PKPP yang diketuai Polis Diraja Malaysia (PDRM)," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Dalam perkembangan berkaitan, Ismail Sabri berkata, Operasi Benteng yang dilaksanakan bagi mengekang jenayah rentas sempadan berjaya memberkas 35 pendatang tanpa izin dan seorang penyeludup semalam.

"Turut dirampas ialah sembilan kenderaan darat," katanya sambil memaklumkan kejayaan itu hasil 274 sekatan jalan raya oleh PDRM, Angkatan Tentera Malaysia dan Agensi Kawalan Sempadan Malaysia.

Mengulas lanjut, beliau berkata seramai 70,939 individu pulang ke tanah air melalui pintu masuk sempadan antarabangsa sejak 24 Julai lepas sehingga semalam, dan ditempatkan di 73 hotel serta 22 Institut Latihan Awam dan institut pengajian tinggi swasta di seluruh negara.

“Daripada jumlah itu, 10,948 individu sedang menjalani proses kuarantin wajib, 404 individu dihantar ke hospital untuk rawatan manakala 60,037 individu telah discaj dan dibenarkan pulang,” katanya menambah kesemua mereka pulang dari 36 negara.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, beliau berkata, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) membuat pemantauan harian ke atas 12 jenis bekalan barangan di 662 premis perniagaan termasuk peruncit (459), pemborong (171) dan pengilang (32).

Ismail Sabri berkata, pegawai penguat kuasa KPDNHEP turut melakukan 1,413 pemeriksaan khas pematuhan SOP PKPP dan mendapati kesemua premis yang diperiksa mematuhi arahan ditetapkan.

Beliau, bagaimanapun menggesa pengusaha dan orang ramai agar mengamalkan kawalan kendiri termasuk penjarakan fizikal dan kebersihan diri terutamanya ketika menjalankan aktiviti jual beli barangan keperluan harian. - Bernama