Sindiket rokok seludup tumpas

Polis merampas pelbagai jenis rokok seludup bernilai RM321,927 dalam operasi di Cheras dan Kajang semalam.
Polis merampas pelbagai jenis rokok seludup bernilai RM321,927 dalam operasi di Cheras dan Kajang semalam.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis menumpaskan sindiket pengedaran rokok seludup dengan tertangkapnya lima lelaki dalam serbuan berasingan di sekitar Cheras dan Kajang semalam.

Serbuan bermula jam 4.30 petang hingga 6 petang oleh sepasukan polis dari Batalion 4, Pasukan Gerakan Am (PGA) itu turut membawa kepada rampasan pelbagai jenis rokok seludup serta aset bernilai RM580,354.

Pegawai Pemerintah Batalion 4 PGA, Superintendan Rizal Mohamed berkata, dua lelaki diberkas di sebuah gerai sebelum merampas sejumlah rokok seludup.

"Soal siasat daripada suspek kemudian membawa kepada serbuan sebuah stor yang dijadikan tempat menyimpan barang larangan itu dan menahan tiga suspek.

"Serbuan ini bertindak merampas 445,040 batang rokok pelbagai jenama bernilai RM321,927, tiga buah kenderaan, wang tunai RM7,997 serta enam telefon bimbit," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, secara keseluruhan jumlah rampasan bernilai RM580,354.

Katanya, pihaknya percaya dengan tumpasnya sindiket terbabit telah berjaya melumpuhkan sindiket pengedaran rokok tidak bercukai di sekitar Cheras dan Kajang.

“Kesemua suspek dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Akta Kastam 1967," katanya.

Artikel Berkaitan:

Justeru, pihaknya menyeru masyarakat untuk menyalurkan maklumat kepada pihak polis sekiranya terdapat sebarang aktiviti menyalahi undang-undang agar kegiatan itu dapat dibanteras.