Kelantan perketat SOP bendung Covid-19

Surat arahan mengenai SOP tersebut mula tular di media sosial bermula semalam
Surat arahan mengenai SOP tersebut mula tular di media sosial bermula semalam
A
A
A

KOTA BHARU - Kerajaan Kelantan menguatkuasakan enam prosedur operasi standard (SOP) baharu bagi membendung penularan pandemik koronavirus (Covid-19) di negeri itu.

Menteri Besar, Datuk Ahmad Yaakob yang mengesahkan penambahan SOP itu berkata, perkara tersebut diputuskan dalam satu mesyuarat khas yang dipengerusikan oleh beliau, semalam dan ia adalah langkah tambahan kepada aktiviti serta protokol sedia ada dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan Negara.

Ahmad mengulas mengenai satu surat yang dikeluarkan pihak Setiausaha Kerajaan Negeri mengenai arahan tersebut yang tular di media sosial.

“Ya, surat itu memang betul. Sebab kita lihat ada peningkatan dan kita tambah baik apa yang sudah ada. Ia berkuatkuasa hari ini,” katanya selepas merasmikan Hari Kelantanku Bersih 2020 di Dataran Warisan, Stadium Sultan Muhammad IV di sini.

Turut hadir, Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Abdullah dan Exco Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan, Dr Izani Husin.

Antara SOP baharu tersebut ialah, semua operasi premis-premis perniagaan kini dihadkan sehingga jam 11.30 malam sahaja manakala operasi stesen minyak serta kedai runcit di stesen minyak pula sehingga jam 12 malam.

Yang Dipertua Majlis Daerah Kuala Krai, Tengku Abdul Rahman (kanan) menerima cek RM25,000 setelah Kuala Krai dinobatkan sebagai Johan bagi kategori Bandar Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Terbersih.
Yang Dipertua Majlis Daerah Kuala Krai, Tengku Abdul Rahman (kanan) menerima cek RM25,000 setelah Kuala Krai dinobatkan sebagai Johan bagi kategori Bandar Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Terbersih.

Bilangan pelanggan di kedai makan hendaklah dihadkan secara maksimum kepada empat orang bagi satu meja tertakluk kepada penjarakkan satu meter bagi setiap pelanggan dan dua meter bagi setiap meja makan.

Artikel Berkaitan:

Semua acara yang melibatkan majlis keramaian seperti majlis perkahwinan dan lain-lain adalah dihadkan kepada jumlah 150 orang pada satu-satu masa tertakluk kepada keluasan kawasan yang membolehkan diadakan penjarakkan satu meter antara individu.

Untuk semua majlis keramaian tersebut, hendaklah dimaklumkan terlebih dahulu kepada Polis Diraja Malaysia sekurang-kurangnya lima hari sebelum majlis diadakan.

Untuk SOP terakhir, semua acara sukan atau Latihan yang melibatkan aktiviti yang bersentuhan antara satu sama lain adalah tidak dibenarkan sama sekali.

Sebelum ini, kerajaan negeri melalui persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan minggu lalu telah memperuntukkan sebanyak RM40 juta bagi membantu rakyat Kelantan yang terkesan akibat Covid-19.

Peruntukan khas itu akan diagihkan bermula tahun depan kepada mana-mana rakyat yang terkesan akibat Covid-19 terutama golongan yang meningkatkan pertumbuhan ekonomi negeri (KDNK) seperti dalam sektor perkhidmatan, pelancongan, pertanian dan kesihatan.