Kesempitan hidup 11 beranak dapat perhatian

Mas Imran dan Sharifah Azizah (tengah) menyerahkan barang keperluan harian sumbangan Pasaraya Econsave kepada keluarga Abdul Wahid di Felda Papan Timur, Bandar Mas, Kota Tinggi hari ini.
Mas Imran dan Sharifah Azizah (tengah) menyerahkan barang keperluan harian sumbangan Pasaraya Econsave kepada keluarga Abdul Wahid di Felda Papan Timur, Bandar Mas, Kota Tinggi hari ini.
A
A
A

KOTA TINGGI - Kisah sebuah keluarga yang tidak dapat menghantar enam anak mereka ke sekolah akibat kesempitan hidup mendapat perhatian beberapa pihak yang tampil menghulurkan bantuan.

Antara pihak yang tampil memberikan bantuan kepada 11 beranak itu adalah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kota Tinggi, Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAIJ) dan Pejabat Pendidikan Daerah.

Terbaharu keluarga Abdul Wahid Abd Rahman, 48, menerima kunjungan Pengurus Operasi Pasaraya Econsave, Mas Imran Adam yang menyampaikan sumbangan RM1,000 dalam bentuk barangan dan keperluan asas.

Sumbangan tersebut disampaikan Mas Imran dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Penawar, Datuk Sharifah Azizah Syed Zain kepada Abdul Wahid di rumahnya di Felda Papan Timur, Bandar Mas di sini hari ini.

Menurut Mas Imran, sumbangan tersebut diharap dapat meringankan beban keluarga tersebut dan pada masa sama menawarkan pekerjaan untuk anak sulung Abdul Wahid di Pasaraya Econsave.

"Tawaran kerja ini bagi membolehkan anak sulung Abdul Wahid mendapat pekerjaan dengan gaji lebih sedikit berbanding sebelum ini, anak perempuannya itu bekerja di kedai runcit," katanya.

Kisah Abdul Wahid, isteri, Norliana Abu Bakar dan enam daripada sembilan anaknya yang tidak dapat ke sekolah disiarkan Sinar Harian Ahad lalu.
Kisah Abdul Wahid, isteri, Norliana Abu Bakar dan enam daripada sembilan anaknya yang tidak dapat ke sekolah disiarkan Sinar Harian Ahad lalu.

Kisah Abdul Wahid, isteri, Norliana Abu Bakar, 40, dan enam daripada sembilan anaknya yang tidak dapat ke sekolah disiarkan Sinar Harian Ahad lalu.

Artikel Berkaitan:

Bapa kepada sembilan anak berusia antara setahun hingga 20 tahun itu tidak mampu kerana hanya bekerja di kedai cuci kereta. manakala anak sulung bekerja di kedai runcit dengan gaji RM20 sehari, pendapatan dua beranak itu cukup untuk makan minum sahaja.

Sepatutnya empat anak yang berhenti sekolah sebelum ini masuk sekolah semula pada tahun ini selain seorang berusia tujuh tahun masuk Darjah Satu dan seorang lagi berusia enam tahun masuk Taman Bimbingan Kanak-kanak (Tabika).

Sementara itu, Abdul Wahid berkata, keluarganya merakamkan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang membantu dan seakan memberi sinar baharu dalam kehidupan mereka sekeluarga.

"Hanya ALLAH yang mengetahui betapa kami amat berterima kasih atas apa yang dilakukan oleh pihak berkaitan kerana keprihatinan mereka membawa masa depan lebih cerah kepada anak-anak kami," katanya.

Dalam pada itu, Sharifah Azizah berkata, selepas ini Abdul Wahid harus menguruskan pendaftaran semula anak-anaknya untuk bersekolah pada tahun depan dan pihaknya akan terus memberikan bantuan.

"Kami akan terus memberikan perhatian kepada keluarga ini selain memberikan bantuan asas bulanan selama setahun. Diharapkan usaha ini akan dapat mengubah kehidupan keluarga ini ke arah yang lebih baik," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Tidak mampu hantar enam anak ke sekolah