X

Kindly register in order to view this article
!

Oranje masih perlu bekerja keras

Wijnaldum
A
A

Biarpun menewaskan Poland 2-1 pada aksi Liga Negara UEFA di Chorzow kelmarin, Belanda tetap perlu bekerja keras pada masa hadapan.

Kenyataan itu ditegaskan Georginio Wijnaldum yang menyifatkan kemenangan berkenaan masih belum cukup bagus untuk skuad kendalian Frank de Boer itu.

Justeru menurut pemain tengah Liverpool itu, The Oranje perlu terus berusaha memastikan kejayaan berterusan selepas ini.

“Walaupun tidak bermula dengan baik termasuk membenarkan lawan menjaringkan gol awal, tetapi ia tetap satu perlawanan yang bagus.

“Bagaimanapun saya percaya hanya menerusi kerja keras kita mampu untuk melakar kejayaan yang lebih baik.

“Kadang kala kami tidak beraksi dengan baik berikutan kami tidak ada banyak masa berlatih bersama; oleh itu kami perlu lakukan tanggungjawab kami sebaik yang mungkin sekiranya mahu berjaya dalam kejohanan di Euro 2020 kelak,” katanya.

Pada perlawanan berkenaan, Belanda dikejutkan dengan jaringan seawal minit ke-5 oleh Kamil Jozwiak.

Skuad The Oranje itu hanya berjaya menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-77 menerusi Memphis Depay yang menyempurnakan sepakan penalti sebelum Wijnaldum menjaringkan gol kedua yang juga gol kemenangan pasukan pada minit ke-84.

Sementara itu De Boer nyata kecewa kerana kesebelasan pemain tidak mengendahkan arahan yang diberikannya pada perlawanan berkenaan.

Bagaimanapun katanya, dia tetap positif dengan keputusan berkenaan dan berharap aksi ‘kebangkitan’ yang dipamerkan dapat diteruskan pada perlawanan-perlawanan akan datang.

“Saya tidaklah begitu kecewa dengan persembahan pemain kerana saya dapat lihat banyak yang positif berbanding negatif.

“Saya juga telah berikan amaran mengenai penyerang Poland, Robert Lewandowski selain mengingatkan pemain untuk bersedia sejak awal perlawanan kerana menjangkakan lawan akan cuba melakukan sesuatu.

“Namun setelah ketinggalan 0-1, pemain dilihat bangkit dan mencipta deretan peluang gol dan bagi saya kemenangan ini adalah bukti kerja keras yang dilakukan pemain,” katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!