ERC sambut baik keputusan isytihar proklamasi darurat

Ab Rashid Ab Rahman
Ab Rashid Ab Rahman
A
A
A

SHAH ALAM - Jawatankuasa Khas Pembaikan Sistem dan Undang-undang Pilihan Raya (ERC) menjunjung kasih atas perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk pengisytiharan proklamasi darurat, sekali gus membatal dan menunda Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Batu Sapi, Sabah.

Pengerusi ERC, Tan Sri Ab Rashid Ab Rahman berkata, ERC menyokong keputusan itu dan berpandangan bahawa keputusan tersebut satu langkah yang tepat dan jelas sesuai dengan keadaan ketika ini.

Menurutnya, ia sekali gus boleh membantu mengekang dan menghalang daripada berlakunya gelombang keempat penularan wabak Covid-19 di Sabah dan juga di seluruh negara.

"ERC berpandangan bahawa sementara kita harus menjunjung hak asasi yang diperuntukkan oleh Perlembagaan Persekutuan terutama dari sudut pilihan raya demokrasi, kita juga perlu memberi keutamaan yang sama bagi menjaga kebajikan rakyat dan pengundi.

"Kita juga harus mengambil segala tindakan yang perlu agar tidak memburukkan lagi krisis kesihatan dan mengelakkan kehilangan lebih banyak nyawa akibat pandemik ini," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ab Rashid berkata, ERC juga menyambut baik kenyataan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam bahawa kerajaan Perikatan Nasional (PN) memberi jaminan PRK Batu Sapi akan diadakan dengan kadar segera 'tertakluk kepada peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan' apabila pandemik Covid-19 berakhir.

Menurut beliau, keadaan itu membuktikan amalan pilihan raya demokrasi di negara ini akan terus terpelihara.

Justeru itu, katanya, ERC yakin bahawa gelanggang pilihan raya yang adil akan disediakan apabila PRK membabitkan bahagian tersebut diadakan semula selepas Covid-19 berakhir.

Artikel Berkaitan:

"Mengambil kira lima asas yang dikaitkan dengan keputusan membatal dan menunda PRK Batu Sapi, ERC yakin masa dan ruang yang ada ini membolehkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memperkemaskan segala mekanisme dan prosedur operasi standard (SOP) bagi memastikan PRK semasa bencana termasuk di Gerik, Perak dan Bugaya, Sabah kelak dapat diuruskan dengan efektif.

"Pada masa sama, ERC juga berpandangan sudah tiba masa untuk satu semakan menyeluruh dibuat berhubung undang-undang sedia ada bagi membolehkan pilihan raya sama ada PRK atau Pilihan Raya Umum (PRU) ditangguhkan semasa krisis termasuk krisis kesihatan, huru-hara dan bencana alam atau ketika keadaan yang membahayakan keselamatan negara," katanya.

Untuk tujuan itu, beliau berkata, ERC menyarankan agar satu peruntukan yang khusus dimasukkan ke dalam Perlembagaan Persekutuan dan Akta Pilihan Raya 1958 bagi memberi kuasa kepada SPR untuk mengambil tindakan perlu apabila berlaku apa-apa keadaan krisis yang memudaratkan negara.

Katanya, ERC kekal berpandangan bahawa ciri-ciri asas pilihan raya demokratik tidak boleh diabaikan dan kaedah yang sempurna mengikut undang-undang sedia ada tidak harus diketepikan semata-mata untuk menyelesaikan sesuatu pilihan raya.