Dua pertuduhan terhadap Guan Eng akan dipinda

Lim Guan Eng -Foto Bernama
Lim Guan Eng -Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pihak pendakwaan akan memohon untuk meminda dua daripada empat pertuduhan kes rasuah dihadapi bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng, membabitkan pembinaan terowong dasar laut dan projek pembinaan jalan utama di Pulang Pinang semasa sebutan kes itu pada 21 Disember ini.

Timbalan Pendakwa Raya Wan Shaharuddin Wan Ladin yang mengetuai pasukan pendakwaan memaklumkan perkara itu kepada pemberita ketika dihubungi hari ini.

Wan Shaharuddin berkata, sepatutnya hari ini ditetapkan untuk sebutan semula kes itu, bagaimanapun prosiding ditangguhkan berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di semua negeri di Semenanjung kecuali Perlis, Kelantan dan Pahang selama empat minggu mulai 9 November hingga 6 Disember depan.

“Mahkamah memaklumkan tarikh baharu sebutan itu kepada pihak kami melalui emel pada 9 November lalu,” katanya.

Difahamkan, pindaan itu adalah bagi memasukkan ‘waktu’ di dalam pertuduhan rasuah mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan mengeluarkan perkataan yang tidak menjadi elemen di dalam pertuduhan menggunakan kedudukan yang dihadapi bekas Menteri Kewangan itu.

Pada 7 Ogos lepas, Guan Eng, 60, didakwa sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang, telah secara rasuah meminta bagi pihak dirinya sendiri suatu suapan, iaitu balasan berharga berupa 10 peratus daripada keuntungan yang akan diperoleh kelak daripada Datuk Zarul Ahmad Mohd Zulkifli, yang merupakan Pengarah Consortium Zenith Construction Sdn Bhd.

Suapan itu adalah sebagai upah bagi melakukan suatu perkara yang dicadangkan, iaitu, membantu syarikat Zarul Ahmad dilantik untuk melaksanakan Projek Pembinaan Jalan-Jalan Utama dan Terowong di Pulau Pinang, di Hotel The Gardens, Lingkaran Syed Putra, Mid Valley City, di sini pada Mac 2011.

Pada 10 Ogos lepas pula, Guan Eng didakwa di Mahkamah Sesyen Butterworth atas pertuduhan menggunakan kedudukannya ketika menjawat jawatan sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang, untuk suapan bagi dirinya wang berjumlah RM3.3 juta, sebagai tindakan membantu syarikat milik Zarul Ahmad dilantik untuk melaksanakan projek itu yang bernilai RM6.3 bilion.

Artikel Berkaitan:

Pada 11 September, Ahli Parlimen Bagan itu sekali lagi didakwa atas dua pertuduhan menyebabkan dua lot tanah milik kerajaan negeri Pulau Pinang yang bernilai RM208.8 juta, dilupuskan kepada syarikat pemaju berkaitan projek terowong dasar laut di negeri itu.

Mengikut pertuduhan pertama, Guan Eng didakwa menyebabkan Pendaftar Tanah Pulau Pinang melupuskan harta milik kerajaan negeri Pulau Pinang iaitu, Lot Tanah No H S(D) 18801, N PT Lot 702 Seksyen 1, Bandar Tanjong Pinang, Daerah Timor Laut, Pulau Pinang, bernilai RM135,086,094 kepada Syarikat Ewein Zenith Sdn Bhd.

Beliau juga dituduh menyebabkan Pendaftar Hakmilik Tanah Pulau Pinang melupuskan Lot Tanah No H S (D) 19318, No PT Lot 10012 Seksyen 1, Bandar Tanjong Pinang, Daerah Timor Laut, bernilai RM73,668,986 kepada Syarikat Zenith Urban Development Sdn Bhd.

Guan Eng didakwa melakukan kedua-dua kesalahan itu di Pejabat Tanah dan Galian Negeri Pulau Pinang, Tingkat 21, KOMTAR di sini, pada 17 Feb 2015 dan 22 Mac 2017.

-Bernama