Boleh usul cadangan potong gaji ADUN pada Sidang DUN Johor

Suhaizan Kaiat
Suhaizan Kaiat
A
A
A

ISKANDAR PUTERI - Kesemua 56 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di negeri ini berhak mengusulkan sebarang cadangan berhubung pemotongan gaji ADUN, Exco Kerajaan Negeri dan Menteri Besar pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor minggu depan.

Speaker DUN, Suhaizan Kaiat berkata, sebarang cadangan boleh dikemukakan ketika sesi perbahasan mengenai belanjawan negeri berlangsung.

"Jika mengikut peraturan DUN Johor, sebarang cadangan perlu dikemukakan dalam tempoh 14 hari sebelum DUN bersidang.

"Namun setiap ADUN boleh memberikan sebarang cadangan sewaktu sesi perbahasan berlangsung kerana setiap mereka mempunyai masa 20 minit untuk berbahas," katanya ketika ditemui di Kota Iskandar di sini hari ini.

Suhaizan berkata, dua usul akan dikemukakan dalam sidang DUN itu nanti iaitu rundingan mengenai anggaran perbelanjaan pembangunan negeri Johor 2021 daripada Menteri Besar Johor, Datuk Ir Hasni Mohammad.

Menurutnya, usul kedua pula daripada ADUN Pekan Nanas, Yeo Tung Siong mengenai perundingan pengecualian cukai harta bagi kategori bangunan perumahan, komersial dan perindustrian.

Menyentuh mengenai prosedur operasi standard (SOP) mengekang wabak koronavirus (Covid- 19) pada sidang DUN itu, beliau berkata, kesemua ADUN perlu menjalani ujian pengesanan Covid- 19.

"Selain itu, petugas media yang hadir pada sidang DUN itu juga perlu menjalani ujian tersebut.

Artikel Berkaitan:

"Tiada lagi pemerhati bagi sidang DUN kali ini kerana mahu memastikan jumlah kehadiran tidak terlalu ramai.

"Sebelum ini pemerhati terdiri daripada penyokong, pegawai-pegawai ADUN dan rakyat seperti pelajar sekolah yang membuat lawatan," katanya.

Suhaizan juga berkata, tiada pengurangan masa ketika sidang DUN berjalan, malah jumlah masa perbahasan yang diberikan setiap ADUN iaitu 20 minit sebelum ini juga tidak berubah.

Sidang DUN Johor bermula pada 26 November hingga 6 Disember depan akan memberi tumpuan kepada Belanjawan Johor 2021 dengan tema 'Berdaya Tahan Demi Kemakmuran'.