X

Kindly register in order to view this article
!

Balak bernilai lebih RM100,000 dirampas

Penolong Pegawai Hutan Daerah Temerloh/Bera, Mohd Faizul Ibrahim (kanan) memeriksa longgokan kayu yang terdapat di sebuah pusat penyimpanan balak di sini, kelmarin. - Foto PNP
A
A

BERA - Sebanyak 280 tual balak pelbagai spesies yang dicuri dalam kawasan Hutan Simpan Chini di sini dirampas selepas pemeriksaan anggota Unit Tugas Khas Pejabat Hutan Daerah (PHD) Temerloh/Bera di sebuah pusat pengumpulan (matau), di sini kelmarin.

Balak yang dianggarkan bernilai RM112,000 itu ditemui dicampur bersama balak berlesen bagi mengelaburi mata pihak berkuasa.

Pegawai PHD Temerloh/Bera, Azmi Abdul Rahman berkata, seramai 14 anggotanya bertindak melakukan serbuan di kawasan Kompatmen 132 Hutan Simpan Chini kira-kira 10 malam kelmarin selepas menerima aduan.

Menurutnya, pemeriksaan menemui 70 tunggul pokok balak pelbagai spesies berharga termasuk merantai, merawan, kempas dan yang disyaki ditebang secara haram.

"Siasatan mendapati sindiket yang didalangi beberapa individu tempatan itu menceroboh hutan tersebut untuk menebang dan memindahkan balak ke pusat pengumpulan dalam tempoh dua hari sebelum kegiatan mereka dikesan kelmarin.

"Sindiket berkenaan turut menyekat dua laluan utama ke lokasi tersebut dengan meletakkan jentera, membina parit dan membuat halangan dengan timbunan dahan pokok bagi menyekat kemasukan pihak berkuasa," katanya.

Tambah beliau, hasil serbuan itu, pihaknya turut menyita sebuah jentera pengangkat balak, jentolak, jengkaut dan dua lori yang kini ditempatkan di stor penyimpanan barangan kes di Pejabat Ladang Kemasul, Mentakab.

"Usaha mengesan dalang kegiatan ini sedang dilakukan dan mereka bakal didakwa mengikut Akta Perhutanan Negara 1984," katanya.

Tambahnya, PHD sudah mengesan dan mengasingkan balak yang dicuri dengan cara memadankan tunggul pokok di Kompatmen 132 Hutan Simpan Chini.

"Proses ini akan mengambil masa agak lama namun kita tetap berusaha melakukan yang terbaik bagi memastikan kes ini dapat diselesaikan secepat mungkin," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!