Permohonan GKP 2.0 melebihi sasaran awal: Tengku Zafrul

Tengku Zafrul
Tengku Zafrul
A
A
A

KUALA LUMPUR - Lebih 512,000 permohonan Geran Khas Prihatin (GKP 2.0) diterima daripada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan mikro, sekali gus mengatasi sasaran awal sebanyak 200,000, kata Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Menurutnya, permohonan GKP 2.0 yang diterima oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), telah dibuka pada 1-31 Oktober 2020 lepas.

Beliau berkata, setiap permohonan terbabit turut diteliti secara semak silang atau disahkan oleh data agensi ditetapkan kerajaan, termasuk di peringkat pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi memastikan hanya PKS mikro yang benar-benar layak mendapat bantuan tersebut demi kelangsungan perniagaan mereka.

“PKS mikro yang telah memohon GKP 2.0 ini boleh menyemak status kelulusan mulai 27 November 2020 manakala tarikh pembayaran pula dijangka mulai 30 November 2020,” katanya pada sesi pertanyaan-pertanyaan menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab pertanyaan Khoo Poay Tiong (PH-Kota Melaka) mengenai jumlah permohonan dan kelulusan GKP 2.0 serta alasan permohonan yang tidak berjaya.

Menjelaskan selanjutnya, Tengku Zafrul berkata, antara sebab permohonan tidak diluluskan adalah PKS mikro terbabit tidak memenuhi syarat seperti tiada lesen PBT atau tidak berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia.

Selain itu, terdapat PKS mikro yang mempunyai bilangan pekerja melebihi lima orang.

“Kerajaan amat prihatin dengan cabaran yang dihadapi oleh PKS secara amnya termasuk PKS mikro.

Artikel Berkaitan:

“Oleh itu, GKP 2.0 ini merupakan komitmen berterusan kerajaan untuk melindungi rakyat, menyokong perniagaan dan memperkukuh ekonomi negara,” katanya.

GKP 2.0 merupakan bantuan kewangan secara sekali beri berjumlah RM3,000 kepada PKS mikro yang layak dan tidak pernah menerima GKP sebelum ini bagi meringankan beban kewangan perniagaan yang dihadapi ekoran penularan Covid-19.

Di bawah GKP asal sebelum ini, lebih 545,000 peniaga mikro seluruh negara telah mendapat manfaat dengan jumlah keseluruhan bantuan itu mencecah RM1.63 bilion. - Bernama

ARTIKEL BERKAITAN: LHDN muat naik soalan lazim BPN 2.0 dan GKP 2.0