Kempen Sawit Anugerah Tuhan dilancar hari ini

Dr Khairuddin Aman Razali
Dr Khairuddin Aman Razali
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) mengambil inisiatif melancarkan kempen ‘Sawit Anugerah Tuhan’ peringkat kebangsaan dan antarabangsa di Parlimen hari ini.

Menterinya, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, kempen itu bertujuan untuk menghargai sumbangan besar industri sawit kepada negara selama ini, di samping meningkatkan kesedaran terhadap khasiat dan kebaikan minyak sawit Malaysia kepada masyarakat.

Beliau berkata, KPPK melalui Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC) akan melaksanakan kempen berkenaan dengan memberi tumpuan kepada peranan yang dimainkan oleh industri sawit negara dalam pembangunan sosioekonomi.

"Selain itu, sumbangan sektor sawit terhadap industri makanan dan bukan makanan merangkumi produk kesihatan serta pemuliharaan alam sekitar akan turut diberi penekanan.

"Pelbagai aktiviti promosi bagi menggalakkan penglibatan semua lapisan masyarakat akan dijalankan di seluruh negara menerusi pelbagai platform," katanya kepada pemberita di Parlimen hari ini.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Kuala Nerus berkata, pelaksanaan program secara bersepadu itu akan dijalankan secara aktiviti fizikal dan maya.

Menurutnya, penggunaan media baharu dan aplikasi sosial akan menjadi keutamaan dengan elemen pendidikan, kesedaran, tarikan visual serta nilai diterapkan dalam menyampaikan mesej kepada masyarakat.

Katanya, sawit merupakan anugerah Tuhan yang cukup istimewa dengan pelbagai kelebihan.

Artikel Berkaitan:

Logo rasmi kempen ‘Sawit Anugerah Tuhan’ yang dilancarkan di Parlimen, Kuala Lumpur hari ini.
Logo rasmi kempen ‘Sawit Anugerah Tuhan’ yang dilancarkan di Parlimen, Kuala Lumpur hari ini.

"Ia dizahirkan melalui pengenalan logo rasmi kempen ‘Sawit Anugerah Tuhan’ yang berasaskan konsep kehebatan dan kemampanan sawit melalui kombinasi empat warna menarik.

"Warna merah melambangkan pelbagai khasiat minyak sawit kepada kesihatan melalui sumber kandungan beta-karotena dan vitamin E tokotrienol yang tinggi.

"Warna tersebut juga menandakan kelebihan penggunaan minyak sawit Malaysia dalam pelbagai produk makanan dan bukan makanan," katanya.

Sementara itu, beliau berkata, daun sawit yang menghijau melambangkan kelestarian alam sekitar dan lingkaran kuning keemasan di sekeliling logo menggambarkan pengeluaran minyak sawit mampan.

Menurutnya, buah sawit pula melambangkan keuntungan berterusan dan berkekalan yang amat bernilai bukan sahaja kepada negara, bahkan kepada seluruh dunia.

"Moto ‘Sawit Anugerah Tuhan’ dalam warna putih melambangkan kesucian produk sawit Malaysia yang jelas dari aspek halalan thoyyiban.

"Paparan dalam tipografi moden menggambarkan hala tuju industri minyak sawit negara yang

sentiasa dinamik, bertujuan menarik minat golongan muda untuk menghargai dan terlibat dalam bidang komoditi ini," katanya.

Sempena prapelancaran kempen hari ini, KPPK mengedarkan sebanyak 550 pelitup muka dengan logo rasmi kempen kepada semua ahli Parlimen, kenamaan dan media sebagai simbolik kesepaduan kempen itu dengan usaha memerangi pandemik wabak koronavirus (Covid-19) selain menzahirkan pelaksanaan kempen dengan norma; baharu.