PKPD Kampung Numbak: Polis Sabah buat sekatan marin

Mazli (kiri) bersama Habibi (kanan) memantau perairan Kampung Numbak yang dikenakan PKPD pada 16 November lalu.
Mazli (kiri) bersama Habibi (kanan) memantau perairan Kampung Numbak yang dikenakan PKPD pada 16 November lalu.
A
A
A

KOTA KINABALU - Polis Diraja Malaysia (PDRM) Sabah melaksanakan sekatan marin di perairan Kampung Numbak bagi memastikan penduduk mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) yang dikuatkuasakan di kawasan itu sejak 16 November lalu.

Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Mazli Mazlan berkata, pemantauan itu dilaksanakan oleh Pasukan Polis Marin (PPM) di sekitar perairan kampung berkenaan bagi melihat sejauh mana sekatan kawasan perairan kampung ini dipatuhi oleh penduduk.

Menurutnya, sekatan itu dilakukan kerana laluan laut juga digunakan penduduk untuk ke pusat bandar.

"Kita mendapati sekatan ini berjalan lancar dan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) penduduk amat tinggi bagi menghentikan penularan jangkitan koronavirus (Covid-19) di kawasan ini," katanya kepada pemberita ketika membuat pemantauan di perairan Kampung Numbak di sini hari ini.

Hadir sama, Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji.

Ketika diminta mengulas berhubung SOP bagi penduduk yang menggunakan laluan laut untuk keluar mendapatkan barang keperluan, beliau berkata, SOP adalah sama seperti penduduk melepasi sekatan jalan raya di darat.

"Sama seperti sekatan jalan raya, cuma di laut dan bagi penduduk yang cuba keluar dari kawasan PKPD menggunakan bot, mereka harus ikut SOP yang diberikan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

"Operasi ini berjalan 24 jam sama seperti sekatan jalan raya di darat," katanya.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu, Kampung Numbak dikenakan PKPD selepas dikenal pasti wujud Kluster Numbak pada 9 November lalu dan dianggarkan seramai 5,700 penduduk berada di penempatan itu.