Warga LHDNM diseru terus kerja keras

Tengku Zafrul ketika berucap sempena Sambutan Hari Inovasi dan Integriti 2020 (HII2020) yang diadakan secara dalam talian dari Kompleks Bangunan Kerajaan Jalan Tuanku Abdul Halim, di sini, hari ini.
Tengku Zafrul ketika berucap sempena Sambutan Hari Inovasi dan Integriti 2020 (HII2020) yang diadakan secara dalam talian dari Kompleks Bangunan Kerajaan Jalan Tuanku Abdul Halim, di sini, hari ini.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Kewangan mahu semua warga kerja Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM) terus komited melaksanakan tugas bagi memastikan kerajaan mempunyai dana yang mencukupi bagi membiayai perbelanjaan negara.

Menterinya, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, sebagai pentadbir cukai langsung negara, fungsi serta peranan LHDNM adalah sangat penting bagi memastikan kutipan cukai sentiasa berada pada tahap optimum.

Beliau berkata, kerajaan menaruh harapan tinggi supaya kutipan cukai sebanyak RM127 bilion yang ditetapkan mampu dicapai tahun ini selain turut menyasarkan kutipan cukai langsung LHDNM tahun depan sebanyak RM143.9 bilion.

"Walaupun aktiviti pemungutan dalam situasi pandemik koronavirus (Covid-19) ini begitu mencabar ia harus dilakukan bagi mengimbangi kesusahan yang dihadapi oleh peniaga yang terjejas selain tanggungjawab sebagai pentadbir cukai.

"Keupayaan LHDNM untuk beroperasi dengan efektif dan berkesan dalam memungut hasil negara sudah pasti akan memudahkan kerajaan merealisasikan agenda pemulihan dan pembangunan negara seperti yang digariskan dalam Belanjawan 2021 dan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12)," katanya ketika berucap sempena Sambutan Hari Inovasi dan Integriti 2020 (HII2020) secara dalam talian dari Kompleks Bangunan Kerajaan Jalan Tuanku Abdul Halim, di sini, hari ini.

Tengku Zafrul melancarkan gimik perasmian Sambutan Hari Inovasi dan Integriti 2020 (HII2020) yang diadakan secara dalam talian dari Kompleks Bangunan Kerajaan Jalan Tuanku Abdul Halim, di sini, hari ini.
Tengku Zafrul melancarkan gimik perasmian Sambutan Hari Inovasi dan Integriti 2020 (HII2020) yang diadakan secara dalam talian dari Kompleks Bangunan Kerajaan Jalan Tuanku Abdul Halim, di sini, hari ini.

Hadir sama, Ketua Setiausaha Perbendaharaan merangkap Pengerusi Anggota Lembaga Pengarah LHDNM; Datuk Asri Hamidon, sementara Ketua Pegawai Eksekutif LHDNM, Datuk Seri Dr Sabin Samitah pula bersiaran secara langsung dari Menara Hasil Cyberjaya.

Dalam pada itu, mengulas berhubung aspek percukaian yang dibentangkan pada Belanjawan 2021 baru-baru ini, Tengku Zafrul berkata, kerajaan telah memperkenalkan pelbagai insentif cukai kepada sektor berimpak tinggi yang dijangka menarik pelaburan.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, pada masa yang sama, Belanjawan 2021 terus bertindak sebagai medium mensejahterakan rakyat dan menyokong sektor perniagaan menerusi pengenalan langkah-langkah percukaian yang memberi manfaat kepada golongan sasar.

Katanya, objektif utama kerajaan untuk meringankan beban kewangan rakyat dalam menghadapi wabak ini diterjemahkan melalui pengurangan kadar cukai pendapatan, kenaikan had pelepasan serta peluasan skop pelepasan cukai pendapatan, pengecualian duti setem transaksi tertentu dan pemberian galakan cukai kepada syarikat-syarikat secara bersasar.

"Pengumuman langkah-langkah cukai ini, tanpa pengenalan sebarang cukai baharu merupakan antara usaha berterusan kerajaan untuk menstabilkan ekonomi negara yang terkesan akibat pandemik Covid-19 selain melihat kepada usaha memperkemaskan hasil cukai dengan menyentuh 'shadow economy' atau ekonomi bayangan serta membendung aktiviti penyeludupan produk yang mempunyai kadar cukai tinggi.

"Pada tahun 2019, ekonomi bayangan di negara kita membawa jumlah begitu besar iaitu sekitar 21 peratus kadar dalam negara kasar (KDNK) negara dan dengan menyelaraskan usaha membendung aktiviti tersebut seperti penyeludupan, sudah tentu membawa manfaat yang tinggi kepada hasil negara dan juga kesejahteraan rakyat dan kelangsungan perniagaan," katanya.