Kedah mohon PKPB ditamatkan lebih awal

Muhammad Sanusi Md Nor
Muhammad Sanusi Md Nor
A
A
A

ALOR SETAR - Kedah mohon agar Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) negeri ini selama empat minggu yang mula dilaksanakan 9 November lalu dapat ditamatkan lebih awal.

Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, pihaknya telah mengemukakan alasan penamatan itu kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang diadakan secara dalam talian semalam.

Menurutnya, kedudukan terkini wabak koronavirus (Covid-19) di Kedah turut dibentangkan kepada Muhyiddin.

“Berdasarkan perkembangan semasa Covid-19 di Kedah, kes positif makin kurang dan kita berjaya bendung penularan selain tiada kluster baharu di negeri ini. Kluster yang diimport dari Pulau Pinang hanya babitkan daerah Kulim,” katanya pada sidang akhbar di Wisma Darul Aman selepas persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah ditangguhkan hari ini.

Katanya, Kluster Assumption membabitkan Seberang Perai Utara dan Seberang Perai Tengah di Pulau Pinang serta Kulim di Kedah.

Muhammad Sanusi berkata, pihaknya turut membuat permohonan agar kawasan perindustrian Kulim Hi-Tech Park (KHTP) melibatkan 32,000 pekerja diberikan kelonggaran bagi merancakkan semula aktiviti ekonomi negeri ini.

“Kita harap MKN pertimbangkan supaya dapat lepaskan semua daerah di Kedah, kecuali bagi kes di kawasan tertentu dengan mengecilkan skop agar aktiviti ekonomi kawasan berdekatan dapat kembali pulih,” katanya.

Menurutnya, faktor lain yang boleh dipertimbangkan termasuk kemerosotan sektor pelancongan di Pulau Langkawi yang semakin membimbangkan.

Artikel Berkaitan:

“Lebih 80 peratus aktiviti ekonomi di Langkawi bergantung kepada sektor pelancongan, kalau PKPB lebih lama pulau lagenda itu akan lebih parah. Malah sudah ada rungutan berkaitan perkara ini,” katanya.

Sebelum ini, beberapa persatuan mewakili sektor perhotelan, perniagaan serta pemandu pelancong di Langkawi merayu kerajaan menamatkan pelaksanaan PKPB di pulau peranginan itu yang kini disifatkan sedang 'nazak' ekoran ketiadaan pelancong.

Persatuan berkenaan ialah Persatuan Hotel Malaysia (MAH) Kedah dan Perlis, Persatuan Perniagaan Langkawi (Niagakawi), Persatuan Pemilik Hotel Malaysia (MAHO) serta Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) Kedah dan Perlis.

Turut sama membuat rayuan ialah Dewan Perniagaan Cina Langkawi, Persatuan Pemandu Pelancong Langkawi serta syarikat pengendali feri Konsortium Ferry Line Ventures.

Timbalan Presiden Niagakawi, Datuk Alexander Isaac berkata, industri pelancongan Langkawi semakin suram dan memberi kesan terhadap ekonomi penduduk yang amat bergantung kepada kehadiran pelancong.