Lebih 50,000 penuntut masih di kampus

Gambar hiasan. - Foto Bernama
Gambar hiasan. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sejumlah 50,889 atau 7.9 peratus daripada 646,094 penuntut universiti awam, politeknik dan kolej komuniti masih berada di kampus, sehingga Isnin lepas (16 November), walaupun sesi pendaftaran dan kemasukan penuntut ke pusat pengajian ditangguhkan.

Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Dr Mansor Othman berkata, bagi penuntut Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) pula, seramai 113,297 pelajar masih berada di kampus masing-masing dalam tempoh yang sama.

“Walaupun sesi pendaftaran dan kemasukan pelajar baharu atau sedia ada secara bersemuka ke kampus yang dirancang pelaksanaannya pada Oktober lepas ditangguhkan, kementerian tetap peka dan prihatin dalam memberi pertimbangan khas kepada pelajar yang mempunyai keperluan bagi terus kekal berada di dalam kampus.

“Antara yang diberikan pertimbangan adalah pelajar yang memerlukan kemudahan teknikal seperti fasiliti makmal di kampus, memerlukan persekitaran kondusif atau mempunyai masalah capaian internet bagi meneruskan proses pengajaran dan pembelajaran secara dalam talian,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Azizah Mohd Dun (Bersatu-Beaufort) yang ingin tahu jumlah sebenar penuntut IPTA dan IPTS yang masih berada di kampus selepas pengumuman penangguhan kemasukan semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menjawab soalan tambahan Azizah mengenai usaha kementerian bagi memastikan penuntut yang berada di rumah tidak ketinggalan dengan proses pembelajaran dan pengajaran, Mansor berkata, kerajaan telah memastikan 871 lokasi kemudahan pusat internet di bawah seliaan Kementerian Komunikasi dan Multimedia digunakan bagi tujuan itu.

Selain itu, katanya kerajaan turut menyediakan bantuan pelan data capaian internet kepada penuntut universiti awam daripada keluarga B40, bantuan pendidikan peranti serta pemberian bantuan tunai sebanyak RM50 kepada semua penuntut baharu sesi 2020/2021. - Bernama

Artikel Berkaitan: