Pegawai kanan jualan syarikat telekomunikasi direman

Suspek dibawa oleh pegawai SPRM ke Mahkamah Majistret Putrajaya untuk permohonan reman.
Suspek dibawa oleh pegawai SPRM ke Mahkamah Majistret Putrajaya untuk permohonan reman.
A
A
A

PUTRAJAYA - Seorang pegawai kanan jualan sebuah syarikat telekomunikasi direman lima hari bagi membantu siasatan kes rasuah membabitkan sindiket penipuan menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS).

Perintah tahanan reman dikeluarkan oleh Majistret Shah Wira Abdul Halim bermula hari ini sehingga 23 November depan.

Jumlah individu yang direman berkaitan kes berkenaan ialah seramai 18 orang.

Menurut sumber, suspek berusia 37 tahun itu ditahan di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada jam 7.30 malam semalam selepas hadir memberi keterangan.

Dalam pada itu, seorang bekas pegawai syarikat telekomunikasi dibebaskan dengan jaminan pada hari yang sama.

Difahamkan, mereka dipercayai memberi dan menerima wang rasuah untuk tujuan mendapatkan maklumat data peribadi pelanggan yang menggunakan pelan prabayar.

Tambah sumber lagi, nombor telefon yang diperoleh akan digunakan oleh sindiket penipuan pembekal kandungan dengan mengenakan bayaran langganan SMS tanpa pengetahuan dan persetujuan daripada pengguna.

Kes disiasat mengikut Seksyen 16 Akta SPRM 2009.

Artikel Berkaitan: