Itali sukar pilih kesebelasan terbaik

Pemain Itali berjaya melepasi kawalan pertahanan Bosnia-Herzegovina pada perlawanan berkenaan. - Foto : gettyimages
Pemain Itali berjaya melepasi kawalan pertahanan Bosnia-Herzegovina pada perlawanan berkenaan. - Foto : gettyimages
A
A
A

ITALI bakal berdepan masalah bagi memilih kesebelasan terbaik menjelang saingan Euro 2020 apabila kebanyakan pemain dilihat mempamerkan aksi memberangsangkan setakat ini.

Pengurus Itali, Roberto Mancini berkata, biarpun gembira dengan situasi berkenaan, namun ia dilihat jelas membuatkan pihak pengurusan pasukan ‘pening kepala’ bagi menyenarai pendek 23 pemain untuk dibawa ke saingan berprestij Eropah itu.

Menurutnya, kesemua pemain yang dipanggil mewakili skuad Azzuri itu khususnya bagi saingan Liga Negara UEFA (Nations League), dilihat telah mempamerkan aksi terbaik setakat ini.

“Ternyata ia satu tugas berat untuk kita memilih 23 pemain untuk saingan Euro 2020 kali ini kerana dalam tempoh empat bulan ini, ramai yang telah kita uji dan kesemuanya telah membuktikan kemampuan masing-masing.

“Bagaimanapun, masalah yang kita hadapi ini jauh lebih baik berbanding sukar memilih pemain berikutan masalah kemerosotan prestasi,” katanya.

Pada aksi berdepan Bosnia-Herzegovina di Stadion Grbavica kelmarin, Itali menang 2-0 menerusi jaringan Andrea Belotti pada minit ke-22 dan Domenico Berardi pada minit ke-68.

Bagaimanapun, Mancini tidak dapat bersama-sama dengan skuad Azzuri itu sepanjang bulan ini apabila menjalani proses isolasi setelah didapati positif Covid-19 baru-baru ini.

Sepanjang ketiadaan Mancini, pembantunya Alberigo Evani telah diberikan tanggungjawab untuk mengemudi pasukan berkenaan.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu Mancini kagum dengan aksi peman muda Alessandro Bastoni yang dilihat telah mempamekan aksi yang baik mengemudi benteng pertahanan pasukan setakat ini.

Malah katanya, kehadiran pemain berusia 21 tahun itu telah berjaya mengisi kekosongan di benteng pertahanan yang ditinggalkan oleh Leonardo Bonucci dan Giorgio Chiellini.

“Bastoni masih muda tetapi telah beraksi dalam tiga perlawanan dalam tempoh 10 hari dengan memberikan aksi yang lebih baik setiap hari.

“Dia ada banyak masa untuk meningkat selepas ini bagi mengambil alih tanggungjawab pemain senior pada masa hadapan,” katanya.