Dua anggota polis dituduh seludup 27 warga India

Mohd Fazlan (kanan) dan Mohammad Faiz (dua kiri) dibawa ke Mahkamah Sesyen Sungai Petani hari ini.
Mohd Fazlan (kanan) dan Mohammad Faiz (dua kiri) dibawa ke Mahkamah Sesyen Sungai Petani hari ini.
A
A
A

SUNGAI PETANI - Dua anggota polis dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menyeludup 27 pendatang asing tanpa izin (PATI) warganegara India di Baling dekat sini pada tahun lalu.

Kedua-dua tertuduh iaitu Sarjan Mohd Fazlan Abdullah, 58, dan Konstabel Mohammad Faiz Idris, 23, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Hakim Azman Abu Hassan.

Mohd Fazlan dan Mohammad Faiz masing-masing bertugas di Balai Polis Pengkalan Hulu, Perak dan Cawangan Kem Komandan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak.

Mengikut kertas pertuduhan, mereka didakwa dengan niat bersama menjalankan penyeludupan 27 migran warganegara India di Lot 1004, Kampung Haji Abas, Baling dekat sini kira-kira jam 12.15 tengah hari pada 23 Mei 2019.

Pendakwaan terhadap mereka dilakukan mengikut Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 dan dibacakan bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan denda atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Jabatan Imigresen Malaysia, Fazril Sani Mohamad Fadzil dan Siti Ruvinna Mohd Rawi.

Tertuduh, Mohammad Faiz diwakili peguam, Mohd Hafiz Jalaluddin dan Muhd Alif Affandi Zulkefli, manakala Mohd Fazlan diwakili peguam Jesvinderjit Singh.

Terdahulu, peguam bagi kedua-dua tertuduh memohon diberikan jaminan atas alasan mereka merupakan anggota polis serta tidak berkemungkinan akan melarikan diri pada setiap kali perbicaraan.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Jesvinderjit Singh turut merayu agar mahkamah memberikan jaminan kepada Mohd Fazlan yang dikatakan baharu sahaja menjalani pembedahan jantung tahun lalu serta masih berada bawah pemantauan Institut Jantung Negara.

Azman bagaimanapun tidak membenarkan jaminan memandangkan kes akan dipindahkan ke Mahkamah Tinggi dan kebenaran jaminan hanya boleh diputuskan oleh mahkamah berkenaan.