Bekas pegawai tentera AS mengaku mengintip untuk Rusia

Bekas pegawai tentera Amerika Syarikat, Peter Rafael Dzibinski Debbins (kanan) mengaku bersalah kerana mengintip untuk perkhidmatan perisikan Rusia. - Foto Jabatan Syerif Alexandria/Twitter
Bekas pegawai tentera Amerika Syarikat, Peter Rafael Dzibinski Debbins (kanan) mengaku bersalah kerana mengintip untuk perkhidmatan perisikan Rusia. - Foto Jabatan Syerif Alexandria/Twitter
A
A
A

WASHINGTON - Seorang bekas pegawai dalam unit Beret Hijau Pasukan Khas Tentera Amerika Syarikat (AS) mengaku bersalah semalam kerana mengintip untuk Rusia, kata Jabatan Keadilan AS.

Bagaimanapun, bekas pegawai itu, Peter Rafael Dzibinski Debbins, 45, akan dihukum pada 26 Februari 2021 dan berdepan dengan hukuman maksimum penjara seumur hidup.

"Debbins mengaku hari ini (semalam) bahawa beliau melanggar amanah tertinggi negara ini dengan menghantar maklumat keselamatan kebangsaan yang sensitif kepada Rusia," kata Penolong Peguam Negara, John Demers dalam satu kenyataan.

Menurut pendakwa raya, Debbins telah diambil bekerja oleh Rusia pada awal tahun 1996 sebelum beliau menyertai tentera AS.

Pendakwa raya AS juga berkata, beliau juga diambil bekerja selepas melakukan beberapa kunjungan ke Rusia iaitu negara kelahiran ibunya.

"Pada tahun 1997, Debbins diberikan kod nama oleh ejen perisikan Rusia dan menandatangani satu kenyataan bahawa beliau mahu berkhidmat untuk Rusia," kata Jabatan Keadilan AS.

Debbins berkhidmat sebagai seorang pegawai di unit kimia Tentera AS dari tahun 1998 hingga 2005 sebelum menyertai Pasukan Khas.

Menurut Jabatan Keadilan, ejen-ejen perisikan Rusia menggalakkannya untuk meneruskan kerjayanya dengan Pasukan Khas AS yang mana beliau memperoleh pangkat kapten.

Artikel Berkaitan:

"Debbins membekalkan ejen-ejen perisikan Rusia dengan maklumat mengenai unit kimia dan Pasukan Khas AS.

"Pada tahun 2008, selepas meninggalkan perkhidmatan (tentera), Debbins mendedahkan kepada ejen-ejen perisikan Rusia maklumat sulit mengenai aktiviti-aktiviti sebelum ini ketika ditempatkan dengan Pasukan Khas.

"Debbins juga menyediakan ejen-ejen perisikan Rusia dengan nama dan maklumat tentang bilangan anggota pasukan Khas AS bagi membolehkan ejen-ejen itu memikirkan sama ada mahu mendekati anggota tersebut bagi membolehkan mereka bekerjasama dengan pasukan perisikan Rusia," menurut Jabatan Keadilan AS.

Menurut pendakwaan itu, Debbins pernah berkhidmat di Jerman dan kemudian di Azerbaijan. - AFP