Lelaki rempuh kereta polis didakwa

Tertuduh, Rohaizad (kiri) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Kangsar hari ini atas dua pertuduhan.
Tertuduh, Rohaizad (kiri) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Kangsar hari ini atas dua pertuduhan.
A
A
A

KUALA KANGSAR - Seorang penjual sate mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Kangsar hari ini atas tuduhan menakutkan penjawat awam dan memandu kereta dalam keadaan berbahaya, minggu lalu.

Tertuduh, Rohaizad Lazim, 37, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Rohaida Ishak.

Mengikut pertuduhan, Rohaizad didakwa menakutkan penjawat awam dengan melanggar kenderaan polis dari arah belakang di Jalan Taman Chandan Puteri di sini kira-kira jam 7 petang pada 12 November lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 353 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, Rohaizad didakwa memandu Proton Iswara dengan cara berbahaya kepada orang awam di Kilometer 1 Jalan Kuala Kangsar - Manong pada waktu dan tarikh sama.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun dan denda sehingga RM15,000 jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Siti Hanida Abdul Kadir menawarkan jaminan RM9,000 bagi kedua-dua pertuduhan.

Bagaimanapun, tertuduh yang diwakili peguam P Ravee memohon jaminan dikurangkan dengan alasan tertuduh dia sudah bercerai dan menanggung seorang anak berusia 13 tahun selain menjaga ibu yang sakit.

Artikel Berkaitan:

Mahkamah kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM8,000 dengan dua penjamin bagi kedua-dua pertuduhan dan turut menetapkan kes disebut semula pada 12 Januari depan.

ARTIKEL BERKAITAN: Lelaki lari sekatan, rempuh kenderaan polis ditahan