'Pondok kecil kami dinaiki air'

Keadaan kediaman yang diduduki Nor Aqma bersama suami serta tiga anak di Kampung Bukit Nyior Pelong Setiu selepas dinaiki air semalam.
Keadaan kediaman yang diduduki Nor Aqma bersama suami serta tiga anak di Kampung Bukit Nyior Pelong Setiu selepas dinaiki air semalam.
A
A
A

SETIU - Perniagaan kecil-kecilan sepasang suami isteri di Kampung Bukit Nyior Pelong di sini tergendala berikutan pondok didiami yang juga gerai menjual pisang goreng bagi menampung pendapatan dinaiki air.

Nor Aqma Zulkepli, 28, berkata, hujan berterusan sejak pagi kelmarin menyebabkan air melimpah sehingga memasuki kediaman yang juga pondok kecil digunakan untuk berniaga milik ibu mentuanya.

"Air mula melimpah masuk ke rumah dalam jam 7 petang. Walaupun ketika itu keadaan hujan tidak begitu lebat air sungai semakin naik.

"Saya sempat angkat beberapa barangan niaga ke atas para. Kebetulan saya tidak berniaga pada hari berkenaan jadi tak banyak barangan yang perlu dikemas," katanya ketika ditemui di rumahnya semalam.

Nor Aqma berkata, sebelum itu, dia dan suami, Ahmad Amir Mukminin Yahya, 29, telah membawa dua anaknya, Aufa Umaira Afna, 5, dan Aufa Sofea Khawla, 2, ke pusat pemindahan sementara (PPS) di Surau Kampung Bukit Nyior Pelong di sini pada jam 5 petang.

Katanya, banjir kali ini tidak naik secara mendadak berbanding tahun lalu, sekali gus membolehkan mereka bersedia sekiranya berlaku sebarang kemungkinan.

Nor Aqma dan suami, Ahmad Amir Mukminin membersihkan kediaman mereka yang dinaiki air di Kampung Bukit Nyior Pelong Setiu.
Nor Aqma dan suami, Ahmad Amir Mukminin membersihkan kediaman mereka yang dinaiki air di Kampung Bukit Nyior Pelong Setiu.

"Saya sudah menetap di kediaman ini sejak lima bulan lalu. Sebelum ni saya tinggal bersama ibu mentua saya di sebuah rumah lain di kampung ini juga.

Artikel Berkaitan:

"Disebabkan ibu mentua saya tidak begitu sihat, saya ambil alih tugasnya berniaga pisang goreng di sini," katanya.

Bagaimanapun, Nor Aqma berkata, keadaan cuaca tidak menentu serta penularan Covid-19 membataskan perniagaan yang diusahakan itu.

"Saya tidak dapat berniaga kalau cuaca hujan. Suami pun sama. Suami kerja kebun, tapi kalau cuaca hujan pergerakan agak terbatas

"Bergantung pada cuaca, kalau keadaan cuaca baik biasanya saya akan jual pisang goreng, tetapi masa agak terhad memandangkan kita kini dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB)," katanya.

Ditanya keadaan prosedur operasi standard (SOP) di PPS dalam tempoh pandemik Covid-19 ini, katanya ia tidak begitu membebankan mangsa banjir.

"Kita sudah biasa dengan SOP penjarakkan fizikal, pemakaian pelitup muka dan cecair pembersih kuman, tiada masalah untuk terus amalkan perkara sama di PPS," katanya yang kini hamil tiga bulan.