Pengarah syarikat pembekalan bahan kimia disambung reman

Anggota polis membawa seorang pengarah syarikat pembekalan bahan kimia (kiri) di Mahkamah Majistret Selayang hari ini.
Anggota polis membawa seorang pengarah syarikat pembekalan bahan kimia (kiri) di Mahkamah Majistret Selayang hari ini.
A
A
A

SELAYANG - Perintah reman ke atas seorang pengarah syarikat pembekalan bahan kimia di Mahkamah Majistret di sini berhubung kes pencemaran bau bahan pelarut di Sungai Selangor dilanjutkan sehari lagi sehingga esok.

Majistret Nur Hafizah Rajuni mengeluarkan perintah terhadap suspek berusia 58 tahun itu selepas membenarkan permohonan daripada pihak polis.

Lelaki warga tempatan yang memakai baju lokap polis itu tiba di mahkamah pada jam 8.30 pagi dan dibawa masuk ke mahkamah untuk prosiding reman sejam kemudian.

Suspek kelima bagi kes pencemaran sungai itu sebelum ini direman di mahkamah sama bermula 13 November lalu.

Ia bagi membantu siasatan kes mengikut Seksyen 430 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat dengan mendatangkan bencana terhadap perjalanan tali air sehingga menyebabkan susut bekalan air kepada manusia dan haiwan.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan maksimum 30 tahun dengan denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pada 10 November lalu, Pengurusan Air Selangor Berhad (Air Selangor) memaklumkan, berlaku gangguan bekalan air tidak berjadual akibat penutupan empat Loji Rawatan Air (LRA), ekoran pencemaran di muka sauk LRA Rantau Panjang dikesan pada tahap 8 ton manakala LRA Sungai Selangor bagi Fasa 1,2 dan 3 adalah 4 ton.

Menurutnya, empat LRA dihentikan tugas berikutan pencemaran bau bahan pelarut yang dikesan di Sungai Selangor.

Artikel Berkaitan:

LRA itu merupakan Sungai Selangor Fasa 1,2,3 dan LRA Rantau Panjang yang dihentikan tugas jam 12.20 hingga 12.45 tengah hari.

Ini merupakan kejadian ketiga berturut-turut berlaku dalam tempoh tiga bulan bermula September lalu yang mengakibatkan henti tugas di LRA sama.

Rentetan itu, pada 10 November lalu, pihak polis menahan empat suspek iaitu seorang wanita berusia 40 tahun, seorang lelaki berusia 43 tahun dan dua lelaki yang mana salah seorang daripadanya adalah warga Bangladesh, berhubung kes yang sama.

ARTIKEL BERKAITAN: Pencemaran bau: Empat termasuk seorang wanita direman tujuh hari