Jawatan ketua pegawai data di kementerian diperkenalkan

Mohd Zuki Ali
Mohd Zuki Ali
A
A
A

PUTRAJAYA - Jawatan ketua pegawai data (CDO) di kementerian, jabatan dan agensi di bawah Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) diperkenalkan bagi membangunkan mekanisme data yang sistematik.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali berkata, ia bertujuan untuk koordinasi, capaian dan kerjasama terhadap perkongsian data.

Menurutnya, pengukuhan Sistem Statistik Negara akan memberikan impak positif antaranya menjamin ketersediaan data lebih komprehensif di sektor kerajaan dalam merangka dasar jangka pendek dan jangka panjang negara.

"Kerajaan bersetuju supaya pengukuhan sistem statistik negara dilaksanakan diketuai oleh DOSM yang bertindak sebagai Agensi Pusat dalam penyelarasan sistem statistik tersebut.

"Ia juga bertujuan meningkatkan kepakaran analitikal berkaitan semua bidang ekonomi, sosial dan demografi pegawai di semua kementerian serta agensi," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Seminar My Local Stats 2020: Statistik Daerah & Tempatan Ke Arah Kecekapan Perancangan dan Pengurusan Sumber hari ini.

Seminar yang diadakan secara dalam talian turut disertai Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Khairul Adib Abd Rahman; Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin serta ketua-ketua kementerian dan agensi.

Katanya, pembangunan yang terancang dan berkesan secara ekonomi dan sosial memberikan impak positif kepada masyarakat.

Artikel Berkaitan:

"Statistik dapat menghapuskan ketidakpastian dan membantu kerajaan membuat keputusan berasaskan fakta," katanya.

"Data pentadbiran granular menjadi sumber data penting bagi kerajaan kerana dapat mengurangkan kebergantungan kepada data primer yang dikumpul secara banci atau survei.

"Secara tidak langsung penggunaan data sekunder boleh mengurangkan kos dan penjimatan bagi pengumpulan data," katanya.

Mohd Zuki Ali ketika berucap merasmikan Seminar My Local Stats 2020: Statistik Daerah & Tempatan Ke Arah Kecekapan Perancangan dan Pengurusan Sumber hari ini.
Mohd Zuki Ali ketika berucap merasmikan Seminar My Local Stats 2020: Statistik Daerah & Tempatan Ke Arah Kecekapan Perancangan dan Pengurusan Sumber hari ini.

Mohd Zuki berkata, data yang dipercayai, releven, bertepatan masa dan teknik statistik penting bagi menghasilkan kajian polisi yang berkualiti dan 'sound decision-making'.

"Data dan maklumat statistik telah digunakan sebagai asas dalam penyaluran peruntukan kewangan, penilaian dan pemantauan projek, mengenal pasti program intervensi yang diperlukan serta keperluan lain yang berkaitan dengan kesejahteraan rakyat," katanya.

Beliau berkata, statistik dikeluarkan amat signifikan kepada perancangan ekonomi dan usaha menggabung jalin statistik daripada rekod pentadbiran agensi kerajaan negeri juga penting bagi melengkapi statistik dihasilkan.

"Amalan pengurusan sumber secara bijaksana dipamerkan apabila maklumat pelbagai agensi kerajaan diguna pakai secara optimum dengan kos minimum atau tanpa sebarang kos tambahan.

"Ini bermakna, agensi pentadbiran di peringkat negeri dapat terus merujuk laporan khusus bagi memantau kedudukan semasa indikator sosial dan ekonomi di negeri masing-masing dan seterusnya merangka strategi pertumbuhan ekonomi dan menyejahterakan kehidupan rakyat di setiap negeri dan daerah," katanya.