Peluang untuk graduan bumiputera

No Image Caption
A
A
A

PERBADANAN Usahawan Nasional Bhd (PUNB) dan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) semalam menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bagi menjalinkan kerjasama meningkatkan kebolehpasaran graduan bumiputera khususnya dalam bidang keusahawanan.

PUNB dalam satu kenyataan yang dikeluarkan semalam berkata, kerjasama itu akan dijalankan dalam bidang penyelidikan, pembangunan keusahawanan melalui program latihan kemahiran keusahawanan yang dirangka dan dilaksanakan secara bersama.

“Kerjasama ini diharap dapat membantu mewujudkan peluang pekerjaan kepada lebih 300,000 graduan yang bakal menamatkan pengajian pada tahun ini.

“Sebagai permulaan bagi rangka kolaborasi ini, 500 graduan Bumiputera akan dilatih melalui program EntrepreneurMOHE@PUNB 'Empowering Business Through Digitalisation' selama tempoh tiga bulan,” katanya.

Majlis pemeteraian MoU itu diadakan secara maya dan dilancarkan melalui laman rasmi media sosial KPT dan PUNB secara serentak.

Menurut PUNB, program jangka pendek tersebut memberi tumpuan kepada latihan pengurusan dan kepimpinan; kewangan; aset dan stok; serta bimbingan teknikal bagi pengukuhan kemahiran digital seperti pemasaran digital, penyelidikan dan analisis sesawang yang amat diperlukan oleh entiti perniagaan ketika kini untuk kekal berdaya tahan dan bersaing di pasaran yang lebih kompetitif.

"Menerusi kerjasama ini, lebih ramai graduan dapat diberikan latihan kemahiran keusahawanan dan seterusnya meningkatkan bilangan mereka yang meneruskan kerjaya sebagai usahawan setelah tamat pengajian.

“Sehingga Disember 2019, hampir 50,000 penuntut di Institusi Pengajian Tinggi (IPT) menjalankan perniagaan dalam tempoh pengajian, daripada jumlah tersebut terdapat kira-kira 7,000 graduan yang masih meneruskan kerjaya sebagai usahawan selepas tamat pengajian,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Selain itu, PUNB turut menawarkan khidmat nasihat berkaitan perniagaan kepada peserta melalui BizKonsultansi yang boleh diakses secara dalam talian oleh peserta sepanjang tempoh mengikuti program latihan atau setelah mereka berjaya menamatkan latihan.

Bimbingan untuk membentangkan Rancangan Perniagaan atau ‘Business Pitching’ juga turut disediakan untuk membolehkan mereka mendapatkan dana daripada agensi pembiayaan.

PUNB juga menyediakan pembiayaan perniagaan yang bernilai sehingga RM1 juta serta peluang mengikuti program JUMPER PUNB bagi peserta yang berjaya menamatkan latihan dan memenuhi kriteria ditetapkan serta memilih untuk menjadikan bidang keusahawanan sebagai kerjaya.

“Mereka akan didedahkan kepada pembelajaran sebenar mengenai pengurusan perniagaan melalui latihan sangkut atau bimbingan selama lapan bulan di syarikat usahawan PUNB atau syarikat luar dilantik sebagai mentor,” katanya. - Bernama