326 kes Covid-19 berkait tapak pembinaan di Sabah

Sembilan kluster di Sabah adalah berkait dengan tapak pembinaan. (Gambar hiasan) - Foto Bernama
Sembilan kluster di Sabah adalah berkait dengan tapak pembinaan. (Gambar hiasan) - Foto Bernama
A
A
A

KOTA KINABALU - Sebanyak 326 kes koronavirus (Covid-19) membabitkan sembilan kluster di Sabah adalah berkait dengan tapak pembinaan.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Masidi Manjun berkata, kes tertinggi melibatkan Kluster Avenue dengan 110 kes, Sutera (50), Lebuh Raya Pan Borneo (48), Teluk (30), Bina (25), Alila (23), Lintas (14), Plaza (14) dan Tomher (12).

"Jangkitan di Kluster Avenue berkemungkinan berlaku akibat kegagalan pekerja-pekerja tapak pembinaan untuk mengamalkan penjarakan fizikal dan keadaan tempat tinggal pekerja yang sesak," katanya pada sidang media harian Covid-19 Kerajaan Negeri Sabah di sini malam tadi.

Masidi berkata, bagi mengelak jangkitan melibatkan tapak pembinaan, majikan diharap dapat menyediakan kemudahan tempat tinggal pekerja yang sesuai dengan kemudahan penjagaan kebersihan diri dan tidak bersesak.

Katanya, majikan boleh melakukan saringan Covid-19 ke atas kakitangan sebelum diambil bekerja, menyediakan kemudahan pemeriksaan suhu dan laporan kesihatan setiap hari sebelum memulakan kerja, selain melarang kakitangan yang mempunyai simptom hadir bekerja dan perlu mendapatkan rawatan segera.

"SOP (prosedur operasi standard) sektor pembinaan telah disediakan Majlis Keselamatan Negara dan meliputi aspek penyediaan cara kerja, pengurusan risiko di tempat kerja termasuk pengurusan tempat kediaman pekerja," katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan: