PKPB: Suri rumah cari rezeki jual sarapan

Tiga suri rumah, Noradibah (kiri); Maryati ( tengah); dan Siti Khadijah bersepakat menjual sarapan pagi di tepi jalan bagi membantu keluarga masing-masing.
Tiga suri rumah, Noradibah (kiri); Maryati ( tengah); dan Siti Khadijah bersepakat menjual sarapan pagi di tepi jalan bagi membantu keluarga masing-masing.
A
A
A

ALOR GAJAH - Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bukan penghalang kepada tiga wanita untuk mencari rezeki bahkan mendorong semangat mereka untuk bekerja lebih gigih dengan meniaga menu sarapan pagi di jalan Kampung Gangsa, Durian Tunggal.

Tiga wanita gigih tersebut ialah Noradibah Mohd Shah,34; Maryati Idzharuddin,32, dan Siti Khadijah Samshusudin,31 yang berubah menjadi wanita cekal demi mencari rezeki dalam tempoh PKPB susulan penularan wabak koronavirus (Covid-19) dan mereka mempunyai kisah tersendiri mengenai kehidupan masing-masing.

Ujian kehidupan Noradibah bermula apabila suaminya terpaksa menjalani pembedahan hernia pada bulan lalu dan suri rumah itu mula mencari jalan untuk menambah pendapatan dalam situasi Covid-19 ketika ini.

"Maryati ialah biras saya. Memandangkan saya sukar mencari pekerjaan dengan anak-anak yang masih kecil, saya dan Maryati mengajak Siti Khadijah untuk berniaga menu sarapan di hadapan rumah kami di Jalan Kampung Gangsa sejak PKPB kali kedua dikuatkuasakan.

"Walaupun masih baharu, tetapi nampaknya sambutan ke atas juadah kami jual seperti mi kari, lontong dan soto dengan harga RM2.50 sebungkus, nasi lemak serta tiga ketul kuih pada harga RM1 begitu menggalakkan," kata Noradibah memulakan bicara.

Menurutnya, selepas melahirkan anak bongsu dia tidak lagi bekerja dan berhasrat mahu berniaga tetapi menghadapi kekangan modal.

"Tetapi syukur, dengan adanya Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) sedikit sebanyak membantu merealisasikan hasrat saya untuk berniaga menjual menu sarapan ini yang bermula pada jam 6 pagi.

"Dengan bantuan ini, saya dapat membeli bahan-bahan mentah untuk berniaga. Pelaksanaan PKPB saya anggap sebagai hikmah kerana kebanyakan pelanggan melalui lokasi jualan mereka adalah pekerja kilang yang kebanyakannya membeli makanan dalam kuantiti yang banyak untuk sarapan sekali gus untuk makan tengah hari," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

PKPB peluang suri rumah berniaga sarapan pagi di tepi jalan Kampung Gangsa, Durian Tunggal untuk menambah pendapatan keluarga.
PKPB peluang suri rumah berniaga sarapan pagi di tepi jalan Kampung Gangsa, Durian Tunggal untuk menambah pendapatan keluarga.

Maryati yang baharu berhenti kerja sebagai operator kilang pula berkata, selama mereka berniaga itu ada pihak yang menyangka payung biru yang diletakkan di tempat mereka berniaga adalah sekatan jalan raya susulan PKPB, menyebabkan beberapa pelanggan berpatah balik dari terus mendekati gerai kecil mereka itu.

"Pada masa sama ada pihak yang mengecam cara kami berniaga kerana kami meletakkan harga yang sangat murah sehingga dituduh mahu menutup periuk nasi peniaga lain. Tetapi saya anggap semua tohmahan sebagai cabaran berniaga kerana saya percaya setiap orang mempunyai rezeki masing-masing.

"Biarpun keuntungan sedikit namun saya percaya jika kami terus berniaga, sekurang-kurangnya kami dapat menyimpan duit sendiri untuk membantu menambah pendapatan keluarga," katanya yang turut menggunakan wang BPR sebagai modal.

Tambah Maryati, dia tidak mahu toleh ke belakang lagi dan akan terus gigih berusaha untuk membantu suaminya yang bekerja sebagai operator kilang sambil menumpukan sepenuh perhatian kepada dua orang anaknya selepas berniaga.

"Kebetulan masing-masing mahu membantu keluarga dan akhirnya kami sepakat mengusahakan perniagaan ini untuk mencari wang bagi meringankan beban keluarga.

"Dengan duit BPR, kami gunakannya sebagai modal berniaga dan harap perniagaan ini terus maju biar pun diusahakan secara kecil-kecilan," katanya.

Siti Khadijah yang berasal dari Machap, Johor pula berkata, dia mengikut nasihat ibunya yang juga seorang peniaga kuih supaya berniaga sambil melakukan amal.

"Ibu saya juga menjual kuih dengan harga RM1 bagi tiga ketul kuih di kampung. Jadi, apa salahnya saya mengikut cara ibu memandangkan kami berniaga di kawasan kampung. Namun tidak sangka pula ada orang yang tidak senang dengan cara kami berniaga. Semua ini cabaran," katanya yang memiliki dua orang anak berusia enam tahun dan setahun.