Teliti semula arahan tutup masjid

Dari kiri: Fazrul, Nurul Azmawati, Muhammad Fahmi dan Abdul Khair pada Wacana Al-Quran bertajuk 'SOP Masjid: Apa Yang Terbaik?' yang berlangsung di Dewan Karangkraf, Shah Alam.
Dari kiri: Fazrul, Nurul Azmawati, Muhammad Fahmi dan Abdul Khair pada Wacana Al-Quran bertajuk 'SOP Masjid: Apa Yang Terbaik?' yang berlangsung di Dewan Karangkraf, Shah Alam.
A
A
A

SHAH ALAM - Golongan agamawan perlu meneliti semula arahan menutup masjid sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Pegawai Hal Ehwal Islam Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan, Muhammad Fahmi Rosli berkata, apabila meneliti reaksi daripada warganet di media sosial, ramai yang menyuarakan pendapat mengapa masjid tidak diberikan kelonggaran yang sama seperti premis lain.

“Tujuan masjid dikawal dengan prosedur operasi standard (SOP) ketat adalah untuk mengekang perhimpunan yang besar-besaran.

“Sebenarnya, kita dapat gambaran berdasarkan isu kluster Sri Petaling iaitu kluster terbesar dengan takdir ALLAH SWT berlaku dalam masjid, sehinggakan cara kita respons terhadap masjid sekarang ini seolah-oleh kita jadikan Masjid Sri Petaling sebagai kayu ukur.

“Perhimpunan di Masjid Sri Petaling berlaku sebelum pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan tidak ada larangan, bahkan mendapat kebenaran pihak berkuasa negeri. Tapi dengan takdir ALLAH itu berlaku.

“Tetapi selepas PKP dilaksanakan, tidak ada kluster masjid berlaku,” katanya pada Wacana Al-Quran bertajuk ‘SOP Masjid: Apa Yang Terbaik?’ yang berlangsung di Dewan Karangkraf di sini baru-baru ini.

Turut menjadi panelis ialah Pakar Mikrobiologi Klinikal Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Profesor Madya Dr Nurul Azmawati Mohamed manakala Ketua Pegawai Penyelidik Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF), Fazrul Ismail bertindak sebagai moderator dan qari jemputan, Ustaz Abdul Khair Jalil memperdengarkan bacaan surah al-Baqarah ayat 124 hingga 126.

Muhammad Fahmi berkata, ternyata sukar untuk melihat lebih daripada 500 jemaah menunaikan solat berkemaah di masjid sejak pelaksanaan PKPK pada Mac lalu.

Artikel Berkaitan:

“Selepas PKP, kita nak capai 500 jemaah dalam masjid pun susah. Jadi, sepatutnya kita jangan terus kepada tindakan drastik ataupun terus tutup tetapi kita kekalkan dengan pematuhan SOP yang ditetapkan dalam masjid,” katanya.

Muhammad Fahmi
Muhammad Fahmi

Menurutnya, apabila ramai yang mula bersuara mengenai masjid perlu dibuka, sekali gus ia adalah satu perkara baik menandakan masyarakat suka menghadirkan diri ke masjid dan surau untuk solat berjemaah.

Bagaimanapun, katanya, keputusan sama ada buka atau tidak akan diserahkan kepada pihak yang menetapkan SOP.

“Merekalah yang perlu meneliti dan berfikir jauh. Jadi, sebelum nak tutup masjid atau mengehadkan jumlah tertentu, kena tengok keadaan.

“Pada 14 Oktober lepas bermulanya PKPB, kita dibenarkan makan dalam restoran dengan mematuhi SOP ditetapkan. Saya fikir dalam hal ini kalaulah dalam satu kedai makan ada 20 meja bermakna 40 orang berada di dalam restoran dan ia berlaku di negeri yang tidak dibenarkan solat Jumaat 40 jemaah. Apa hujah untuk tidak membenarkan solat Jumaat?

“Saya pergi ke satu kedai makan dan di pintunya tertera had maksimum satu masa 250 orang mengikut SOP. Katalah sebelah ada masjid. Hari Jumaat kedai makan boleh masuk 250 orang tapi masjid ditutup, tidak dibenarkan masuk. Jadi atas hujahan apa kita mahu bertanggungjawab dan siapa yang memikul tanggungjawab tidak membenarkan solat Jumaat,” katanya.

Beliau berkata, sebelum ini masyarakat tidak dibenarkan solat Jumaat disebabkan terdapat rasa takut tetapi kini bukan kerana takut, sebaliknya kerana masjid tidak dibenarkan masuk.