Satu kehilangan besar

Pemergian Allahyarham Baharom yang sangat disenangi pelbagai pihak meninggalkan kesan mendalam kepada dunia kewartawanan.
Pemergian Allahyarham Baharom yang sangat disenangi pelbagai pihak meninggalkan kesan mendalam kepada dunia kewartawanan.
A
A
A

PAGI 17 November 2020, hari Selasa, jam 7.23 merupakan hari penentuan bagi Ketua Pengarang Kumpulan Sinar Harian, Datuk Baharom Mahusin, 54, meninggalkan kehidupan dunia ini untuk selama-lamanya.

Allahyarham meninggal dunia dalam keadaan yang amat tidak saya duga malah berita itu merupakan satu kejutan besar.

Saya berasa sangat sayu kerana perutusan saya kepada arwah pada 27 Oktober 2020 berserta sebuah artikel yang saya hantar telah dijawab arwah bahawa dia akan membaca artikel itu pada keesokan harinya.

Saya sering menaruh kepercayaan bahawa arwah akan menyiarkan tulisan itu seperti biasa.

Saya menaruh kepercayaan ini kerana kepada beliaulah pihak pengurusan Sinar Harian memberikan amanah untuk menapis beberapa rencana yang saya tuliskan untuk Sinar Harian dan keputusannya ialah menerima keseluruhan artikel yang saya tulis.

Oleh sebab tidak mendapat sebarang pesanan daripada arwah dan sehingga 4 November 2020 nampaknya artikel itu tidak disiarkan, lalu saya mengutus pesanan kepadanya bahawa mungkin artikel itu tidak sesuai untuk siaran, yang sekiranya betul begitu, saya akan menghantar sebuah tulisan yang lain.

Namun perutusan itu juga tidak berjawab. Saya melihat tanda yang memberikan isyarat bahawa arwah tidak membaca perutusan itu.

ARTIKEL BERKAITAN:[VIDEO] Ketua Pengarang Sinar Harian meninggal dunia

Artikel Berkaitan:

Pemimpin negara ucap takziah kepada keluarga Baharom

Agong zahir ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham Baharom

Baharom berjaya angkat Sinar Harian ke tahap membanggakan: Hussamuddin

Esoknya saya hubungi pihak Sinar Harian, mereka memberitahu saya bahawa Baharom telah dimasukkan ke hospital.

Berasaskan kepada berita itulah maka pada 11 November 2020 saya mengutus sebuah pesanan surat yang lain iaitu kali ini mendoakan sebanyak-banyaknya agar ALLAH SWT memberikan kesembuhan kepada penyakitnya. Kini ternyata bahawa sehingga ke hari kematiannya, arwah tentulah tidak sempat membaca harapan saya itu.

Pemergian Baharom disifatkan oleh Penerbit Sinar Harian, Datuk Hussamuddin Yaacub dengan pengucapan sedih “... Saya bersaksi bahawa arwah seorang yang amat baik, semoga ALLAH memberi tempat yang baik buat beliau.”

Takziah saya sedalam-dalamnya kepada ahli keluarga arwah, kepada pucuk pimpinan dan kakitangan Sinar Harian serta kepada dunia penulisan dan karyawan negara. Semoga arwah dicucuri rahmat dan inayat ALLAH SWT. Amin.

* Datuk Wira Dr Ismail Ibrahim ialah Ahli Lembaga Pengarah Institut Integriti Malaysia