Tangan tersepit dalam mesin pengisar ikan

Rasmi Ehnui dibantu anggota bomba akibat tangannya yang tersepit dalam mesin pengisar ikan di Kampung Mertua, Pengkalan Kubor, Tumpat hari ini.
Rasmi Ehnui dibantu anggota bomba akibat tangannya yang tersepit dalam mesin pengisar ikan di Kampung Mertua, Pengkalan Kubor, Tumpat hari ini.
A
A
A

TUMPAT - Seorang wanita cedera apabila tangan kanannya tersepit di dalam mesin pengisar ikan di sebuah rumah di Kampung Mertua, Pengkalan Kubor di sini hari ini.

Rasmi Ehnui, 26, ketika itu sedang melakukan kerja-kerja mengisar ikan untuk dijadikan makanan di kediaman keluarganya yang berhampiran dengan sebuah wat.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pengkalan Kubor, Penolong Penguasa Bomba, Raja Arisan Raja Ismail berkata, mangsa yang sedang mengisar isi ikan dengan mesin pengisar elektrik berkenaan secara tiba-tiba tersepit tangan kanannya pada besi pengisar dan gagal dikeluarkan.

Menurutnya, suami mangsa berusia 30-an yang cemas dengan keadaan itu datang ke Balai Bomba Pengkalan Kubor untuk memohon bantuan bagi mengeluarkan tangan isteri yang tersepit.

“Sebaik tiba pada jam 3.09 petang, bomba mendapati empat jari tangan kanan mangsa tersepit antara besi pengisar di dalam mesin sehingga ke bahagian tapak tangan serta berlaku pendarahan.

“Anggota bomba bertindak meleraikan penyambung antara bahagian badan mesin dan besi pengisar tempat tangan mangsa tersepit dengan menanggalkan skru yang menyambung kedua-dua bahagian itu.

"Bagaimanapun kita tidak meleraikan besi pengisar yang mengepit tangan mangsa. Mangsa kemudian dibawa ke Klinik Kesihatan Neting menggunakan ambulans sebelum dihantar ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) untuk tindakan lanjut,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.

Raja Arisan berkata, kerja-kerja meleraikan bahagian badan mesin dan tempat pengisar memakan masa 20 minit, malah pihaknya tidak dapat menanggalkan keseluruhan besi yang mengapit bahagian tangan mangsa berikutan ada pendarahan.

Artikel Berkaitan:

“Penolong pegawai perubatan yang ada ketika usaha membantu wanita berkenaan menyarankan supaya besi pada tangan mangsa dileraikan di hospital berikutan bimbang pendarahan yang lebih teruk berlaku.

“Susulan itu, mangsa dirujuk ke HRPZ II keadaan tangan masih berada dalam tempat pengisar mesin berkenaan dan sedang menjalani rawatan,” katanya.