Ku Li ibarat suara 'warlord' UMNO yang tidak relevan

Tengku Razaleigh Gambar kecil: Muhammad Faiz
Tengku Razaleigh Gambar kecil: Muhammad Faiz
A
A
A

SHAH ALAM - Kenyataan terbuka Pengerusi Jemaah Penasihat UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah sejak akhir-akhir ini dilihat bernada negatif terhadap kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang tertubuh atas semangat perpaduan Melayu, Islam dan bumiputera.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Dr Muhammad Faiz Na'aman berkata, Ahli Parlimen Gua Musang itu juga berkali-kali menggesa UMNO agar mengkaji semula kerjasama politik dengan Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Malah, katanya, Tengku Razaleigh pernah mencadangkan supaya pemimpin UMNO yang dilantik membarisi jemaah menteri agar berundur dari Kabinet pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Menurutnya, jika dilayan suara ahli politik veteran yang masih dibuai dengan sentimen dan nostalgia lama seperti itu, maka bangsa kita tidak akan maju ke hadapan seperti bangsa lain.

“Kita akan terus berada dalam putaran dendam politik silam dan politik yang berasaskan ketaksuban terhadap personaliti tertentu sahaja. Kita akan mewarisi 'perang' politik orang-orang terdahulu yang banyak merugikan agama, bangsa dan negara.

“Di peringkat negeri Kelantan, Ku Li cukup dikenali antara sosok 'warlord' UMNO yang kurang senang dengan penubuhan Muafakat Nasional (MN) sebelum wujudnya kerajaan PN.

“Bagi Ku Li, UMNO perlu lawan Pas seperti dahulu walaupun hakikatnya UMNO tak pernah berjaya menumbangkan Pas di Kelantan sejak zaman Allahyarham Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz lagi,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Sementara itu, Muhammad Faiz juga bersetuju dengan cadangan Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Tan Sri Annuar Musa supaya diwujudkan gabungan politik besar antara parti tempatan yang menolak Pakatan Harapan (PH) dan tidak terbatas kepada MN dan PN sahaja.

Artikel Berkaitan:

“Amat berbeza pendekatan dan cara berfikir dua tokoh politik dari Kelantan ini yang dipisahkan dari segi usia.

“Ku Li masih berfikiran Malaysia wajar dinaungi oleh satu parti autokratik tunggal seperti zaman 80-an dahulu, manakala Annuar mendendangkan penyatuan bangsa berskala nasional melalui perkongsian kuasa secara adil dan realistik antara parti-parti politik yang signifikan.

“Secara peribadi, sebagai salah seorang watak baharu dan orang muda dalam politik tanah air, saya fikir sudah tiba masanya warga Malaysia khususnya Melayu dan Islam meninggalkan mentaliti politik silam yang berasaskan dominasi melampau parti tunggal serta politik yang bersandarkan ketaksuban terhadap sosok pemimpin lama tertentu yang sudah tentunya tidak maksum," katanya.