KKM tubuh Pusat Kawalan Bersepadu

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah (kanan) bercakap pada sidang media harian berkaitan jangkitan COVID-19 di Kementerian Kesihatan hari ini. Foto Bernama
Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah (kanan) bercakap pada sidang media harian berkaitan jangkitan COVID-19 di Kementerian Kesihatan hari ini. Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menubuhkan Pusat Kawalan Bersepadu Covid-19 Wilayah Tengah bagi melancarkan pengurusan wabak di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, pusat kawalan itu diketuai oleh Pengarah Kesihatan Negeri Selangor, Datuk Dr Sha'ari Ngadiman.

"Beliau dibantu oleh Pakar Kecemasan Hospital Sungai Buloh, Dr Sarah Shaikh Abdul Karim sebagai timbalannya," katanya.

Menurutnya, KKM juga telah menambah bilangan katil bagi menampung lonjakan pesakit Covid-19 di Lembah Klang.

"Sehingga hari ini, jumlah katil bagi negeri Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya telah ditingkatkan hampir 14 kali ganda iaitu daripada 345 katil pada 1 Oktober lalu kepada 4,739 buah katil," katanya.

Beliau berkata, katil rawatan Covid-19 di Hospital Sungai Buloh turut ditambah kepada 630 katil dan Hospital Kuala Lumpur sebanyak 831 katil.

"KKM juga menukar status Hospital Rehabilitasi Cheras (HRC) kepada Hospital Hibrid Covid-19 yang mampu menempatkan 230 katil selain membuka semula lapan blok Institut Latihan KKM (ILKKM) Sungai Buloh sebagai Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah dengan kapasiti 2,400 katil," katanya.

Dalam pada itu, jelasnya, penggunaan Pusat Kawalan Kusta Negara (PKKN) sebagai Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah diteruskan dengan kapasiti semasa 648 katil.

Artikel Berkaitan:

"Perancangan strategik bagi meningkatkan jumlah katil ini melibatkan enam buah fasiliti iaitu HKL, HSgB, HRC, PKKN, ILKKM dan Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan (HATTM) di dua negeri.

"Ia juga melibatkan kerjasama pelbagai agensi iaitu Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM)," katanya.

Tambahnya, usahasama tersebut memerlukan koordinasi dan komunikasi yang jitu di antara semua agensi.

"KKM mengucapkan syabas dan terima kasih atas segala bantuan serta kerjasama rapat yang diberikan mereka," katanya.