Awal Ashaari disaman RM3 juta

AWAL ASHAARI. Foto FB Awal Ashaari
AWAL ASHAARI. Foto FB Awal Ashaari
A
A
A

KUALA LUMPUR - Syarikat khidmat pengubah suai dan dekorasi rumah memfailkan saman fitnah sebanyak RM3 juta terhadap pelakon dan juga pengacara televisyen, Ahmad Awaluddin Ashaari atau lebih dikenali sebagai Awal Ashaari.

Saman fitnah itu difailkan Naz Empire Sdn Bhd menerusi Tetuan Hafarizam Wan & Aisha Mubarak selaku plaintif pada 13 November lalu di Mahkamah Tinggi di sini dengan menamakan Awal sebagai defendan pertama dan dua lagi individu iaitu Nawal Yasmin Mat Noh, 33, dan Muhammad Hilmi Zulkifli, 33, masing-masing sebagai defendan kedua serta ketiga.

Menerusi semakan senarai kes mahkamah, pengurusan kes itu ditetapkan pada 11 Disember depan di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi, Nurliana Ismail.

Menerusi pernyataan tuntutan berkenaan, plaintif menuntut ganti rugi daripada ketiga-tiga defendan dan meminta mereka memadam posting fitnah selain memohon maaf kepada plaintif.

Plaintif mendakwa Awal membuat 13 kenyataan fitnah bermula 11 November 2019 yang secara langsung akan menyebabkan pihak lain yang membacanya menganggap plaintif adalah syarikat yang menawarkan servis yang teruk, menipu orang ramai dan tidak patut mengambil khidmat plaintif.

Plaintif juga mendakwa kenyataan defendan menyatakan syarikat itu mempergunakan modal bangsa dan agama untuk mendapatkan pelanggan malah plaintif wajar dihina, dimalukan dan dijauhi masyarakat.

Kenyataan berunsur fitnah telah dikeluarkan atau diterbitkan oleh Awal menerusi Instagram atas nama @awalashaari yang disetkan kepada tatapan umum dan mempunyai 4.7 juta dan aplikasi YouTube dengan nama SchAwal yang mempunyai 42,700 pelanggan (ketika itu).

Posting itu turut disiarkan di beberapa portal hiburan serta mendapat liputan dalam rancangan televisyen.

Artikel Berkaitan:

Plaintif mendakwa defendan kedua dan ketiga menyiarkan semula salah satu daripada kenyataan yang dibuat oleh Awal di ‘story Instagram’ atas nama pengguna @houseofsix.my yang disetkan kepada tatapan umum dan mempunyai hampir 6,000 pengikut.

Atas kenyataan itu, plaintif mendakwa merasa malu, merosakkan reputasi dan mengalami kerugian perniagaan apabila pelanggan serta pengguna media sosial menganggap plaintif sebagai syarikat yang tidak bertanggungjawab.

Plaintif mendakwa, menerusi latar belakang kejadian, pada 3 Mei 2019 Awal menghantar pesanan ringkas melalui ‘direct massage’ (DM) kepada akaun Instagram plaintif bagi melakukan kerja pengubah suaian ruang tamu, ruang makan, ruang dapur kering, ruang keluarga dan bilik pakaian di rumah artis itu di Sunway Damansara, Petaling Jaya.

Setelah beberapa perbincangan, plaintif menghantar sebut harga akhir berjumlah RM320,240 kepada Awal melalui aplikasi WhatsApp dan bersetuju untuk memberi diskaun sebanyak RM105,240.

Jumlah diskaun itu adalah kos yang akan ditaja oleh plaintif dan sebagai balasan, Awal didakwa bersetuju memberi promosi percuma di media sosial artis itu.

Awal melunaskan deposit berjumlah RM100,000 melalui dua kali transaksi masing-masing pada 1 Ogos dan 15 Ogos 2019.

Sebulan selepas itu, Awal sekali lagi menyatakan mahu ‘sky roof’ dan tambahan tingkap di dapur kepada plaintif.

Berikutan itu, plaintif memberi sebut harga baharu sebanyak RM7,500 bagi kos pengubah suaian tersebut.

Bagaimanapun, setelah kerja dilaksanakan, plaintif mendakwa Awal memberi pelbagai kritikan terhadap kerja-kerja yang dilaksanakan.

Awal turut memberi kata dua kepada plaintif sama ada menyiapkan kerja tanpa bayaran tambahan RM7,500 tersebut atau memulangkan semula deposit RM100,000 dengan potongan 20 peratus.

Pada 16 Mac lalu, Awal memaklumkan bahawa khidmat plaintif tidak lagi diperlukan kerana tidak berpuas hati dengan kerja-kerja pengubahsuaian tersebut.