Covid-19: 660 kes baharu, empat kematian hari ini

Dr Noor Hisham - Foto Bernama
Dr Noor Hisham - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Selepas merekodkan bilangan kes harian empat angka sejak 13 November lalu, kes baharu positif wabak koronavirus (Covid-19) di negara ini turun kepada tiga angka pada 660 kes dalam tempoh 24 jam lepas.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, perkembangan terbaharu itu menjadikan angka kumulatif positif Covid-19 di negara ini berjumlah 50,390 kes, dengan bilangan kes aktif pula sebanyak 12,814 kes.

Selain itu katanya, 630 kes pulih direkodkan dalam tempoh 24 jam lepas.

"Daripada jumlah kes baharu itu, 656 kes adalah penularan dalam negara manakala empat lagi merupakan kes import yang mendapat jangkitan di Turki sebanyak dua kes, India (satu) dan Arab Saudi (satu).

" Bagi penularan dalam negara melibatkan kes-kes di Sabah sebanyak 387 kes, Selangor (139), Negeri Sembilan (31), Kuala Lumpur (29), Pulau Pinang (16), Perak (16), Labuan (13), Kedah (11), Melaka (empat), Sarawak (tiga), Johor (tiga), Kelantan (tiga) dan Putrajaya (satu)," katanya pada sidang media perkembangan harian Covid-19 di sini hari ini.

Dalam pada itu, Dr Noor Hisham berkata, terdapat empat kes kematian direkodkan dalam tempoh 24 jam lepas, menjadikan jumlah terkumpul kematian akibat Covid-19 sebanyak 322 kes.

Pada masa ini terdapat 103 kes sedang dirawat di unit rawatan rapi dengan 41 memerlukan bantuan pernafasan, katanya.

Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata, KKM mengambil beberapa langkah bagi menampung kemasukan pesakit susulan lonjakan kes positif Covid-19 di Lembah Klang, antaranya menambah jumlah katil rawatan sedia ada di Hospital Sungai Buloh (HSgB) kepada 630 katil dan Hospital Kuala Lumpur (HKL) kepada 831 katil serta menukar status Hospital Rehabilitasi Cheras (HRC) kepada hospital hibrid Covid-19 dengan 230 katil.

Artikel Berkaitan:

"Selain itu, membuka semula lapan blok Institut Latihan KKM (ILKKM) Sungai Buloh sebagai Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 berisiko rendah (PKRC) dengan kapasiti 2,400 katil dan meneruskan penggunaan Pusat Kawalan Kusta Negara (PKKN) sebagai PKRC dengan kapasiti semasa 648 katil," katanya.

Beliau berkata, pada peringkat awal gelombang ketiga pandemik Covid-19, KKM hanya menggunakan HSgB dan HKL sebagai hospital perawatan Covid-19, manakala PKKN dijadikan PKRC bagi pesakit kategori satu dan dua di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.

“Bagaimanapun, peningkatan jumlah pesakit Covid-19 di kawasan ini telah mengakibatkan hospital-hospital tersebut mencatatkan kadar penggunaan katil yang tinggi,” katanya.

Menurut Dr Noor Hisham, hingga 18 November lalu, jumlah katil di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya telah ditingkatkan hampir 14 kali ganda iaitu daripada 345 katil pada 1 Oktober lalu kepada 4,739 buah katil.

"Perancangan strategik bagi meningkatkan jumlah katil ini melibatkan enam fasiliti iaitu HKL, HSgB, HRC, PKKN, ILKKM dan Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan (HATTM) di dua negeri serta kerjasama pelbagai agensi iaitu Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

“Bagi melancarkan tadbir urus dan pengoperasian semua hospital dan PKRC di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya, kementerian dengan bantuan MKN (Majlis Keselamatan Negara) telah menubuhkan Pusat Kawalan Bersepadu Covid-19 Wilayah Tengah yang diketuai Pengarah Kesihatan Negeri Selangor, Datuk Dr Sha'ari Ngadiman dan Dr Sarah Shaikh Abdul Karim, Pakar Perubatan Kecemasan daripada HSgB,” katanya. - Bernama