APMM rampas 11 bubu naga di Pulau Gedong

Bubu naga yang dirampas APMM dalan Ops Benteng Laut baru-baru ini.
Bubu naga yang dirampas APMM dalan Ops Benteng Laut baru-baru ini.
A
A
A

GEORGETOWN - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) merampas 11 unit bubu naga di Pulau Gedong di sini semasa Ops Benteng Laut baru-baru ini.

Pengarah APMM Pulau Pinang, Kepten Maritim Abdul Razak Mohamed berkata, bubu naga yang dilarang penggunaannya itu dikesan dalam operasi yang dilakukan pada Ahad hingga Selasa lalu ketika anggota melakukan rutin rondaan.

Menurutnya, penggunaan bubu berkenaan dikesan selepas mendapati terdapat beberapa pelampung serta pancang bertanda yang mencurigakan di permukaan air.

"Sebelas set bubu naga yang dijumpai itu dirampas mengikut Seksyen 11(3)(a) Akta Perikanan dan dibawa ke Jeti Pasukan Polis Marin Batu Uban.

"Seksyen terbabit menyatakan bahawa menangkap ikan dengan cara menggunakan atau mengendalikan peralatan menangkap ikan (bubu naga) tanpa suatu lesen yang sah adalah satu kesalahan," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Abdul Razak berkata, pihaknya memandang serius kesalahan itu kerana penggunaan peralatan bubu naga secara haram boleh menjejaskan sumber perikanan kerana sifatnya yang tidak selektif.

Selain itu, katanya, penggunaan bubu naga itu juga memerangkap anak ikan komersial, sekaligus mengakibatkan kesan buruk kepada sumber laut dan nelayan pantai.

"Penggunaan bubu naga telah diharamkan oleh Jabatan Perikanan Malaysia mulai 1 November 2018.

Artikel Berkaitan:

"Justeru orang awam diminta agar melaporkan sebarang kejadian mencurigakan, kecemasan atau kemalangan di laut di talian kecemasan 24 jam iaitu MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Negeri Pulau Pinang di talian 04-2626146,"katanya.