Jasa bukan 'cybertrooper'

Jasa didakwa tidak berperanan sebagai 'cybertrooper' seperti mana hangat dibahaskan pelbagai pihak ketika ini. - Foto 123RF
Jasa didakwa tidak berperanan sebagai 'cybertrooper' seperti mana hangat dibahaskan pelbagai pihak ketika ini. - Foto 123RF
A
A
A

KUALA LUMPUR - Lukanisman Awang Sauni (GPS-Sibuti) hari ini tampil mempertahankan kewujudan Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) yang didakwa sebagai ‘cybertrooper’.

Beliau berkata, Jasa tidak berperanan sebagai 'cybertrooper' seperti mana yang hangat dibahaskan pelbagai pihak ketika ini.

Katanya, selaku bekas pegawai Jasa, beliau terpanggil untuk memberikan penjelasan mengenai ekosistem jabatan itu.

"Memang saya terkesan dengan komen rakan berkenaan Jasa memandangkan Jasa bukanlah 'cybertrooper'.

"Saya tidak akan menjadi ahli Parlimen sekiranya saya bekerja untuk menjadi 'cybertrooper' ketika di dalam Jasa. Jasa pernah pergi ke Bekalalan untuk membina sebuah padang futsal kerana kita lihat masyarakat di sana memerlukan perkara tersebut.

"Jasa pernah mengelilingi Malaysia (dan) saya sendiri pernah pergi dari Kangar ke Sabah untuk melihat, mendengar dan maklumat ini disampaikan kepada kerajaan.

"Jasa juga pernah mempunyai satu pembahagian yang menyamai Invoke (Parti Keadilan Rakyat) walaupun setelah berlakunya pertukaran ketua pengarah. Perhatian mengenai analisa politik telah berkurang dan Jasa bukannya melakukan kerja-kerja 'cybertrooper'," katanya pada sesi perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan (Belanjawan) 2021 di Dewan Rakyat di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Lukanisman berkata, beliau bagaimanapun bersetuju bahawa Jasa yang telah diwujudkan dalam tempoh 40 tahun lalu adalah sebuah jabatan gerak saraf, namun Jasa baharu ini adalah berbeza.

Artikel Berkaitan:

"Saya mengikuti perkembangan dan juga proses permohonan untuk mewujudkan Jasa baharu ini setelah Jasa sebelum ini ditidurkan dan juga dimansuhkan.

"Kesan pemansuhan Jasa ini menyebabkan ramai rakan-rakan Jasa mengalami kehidupan yang agak sukar meskipun ada sebahagian mereka yang mempunyai ijazah," katanya.

Sementara itu, dalam perkembangan sama, beliau turut menuntut supaya Jasa baharu ini dipimpin oleh Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD) bukannya melantik ahli politik atau mereka yang mempunyai kepentingan tertentu.

"Saya juga berharap kerajaan mempertimbangkan semula jumlah dana yang diperuntukkan dalam Belanjawan 2021 kepada Jasa supaya ianya dapat diguna untuk membantu rakyat," katanya.