Pulau Pinang buka pusat kuarantin, rawatan Covid-19 risiko rendah

Petugas daripada NGO Tzu-Chi dan kakitangan Hospital Pulau Pinang sedang melakukan persiapan tempat di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah di Georgetown hari ini.
Petugas daripada NGO Tzu-Chi dan kakitangan Hospital Pulau Pinang sedang melakukan persiapan tempat di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah di Georgetown hari ini.
A
A
A

GEORGETOWN - Kompleks Masyarakat Penyayang di Jalan Utama di sini dijadikan sebagai Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berkata, pusat kuarantin berkenaan dibuka atas permintaan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebagai persediaan berikutan berlaku peningkatan kes positif koronavirus (Covid-19) di negeri ini.

Menurutnya, pusat terbabit menempatkan sebanyak 100 katil yang disediakan oleh kerajaan negeri dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) sukarelawan Buddhists Tzu-Chi Merits Society Malaysia (Tzu-Chi).

“Pusat kuarantin berisiko rendah ini merupakan yang ketiga selepas ia dibuka di Penjara Reman Pulau Pinang dan Penjara Seberang Perai sebelum ini.

“Pusat ini dibuka bagi mengelakkan operasi di hospital sedia ada terjejas berikutan pertambahan kes yang berlaku sejak kebelakangan ini,” katanya pada sidang akhbar di Komtar di sini hari ini.

Sebanyak 100 buah katil ditempatkan di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah di Georgetown.
Sebanyak 100 buah katil ditempatkan di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah di Georgetown.

Kon Yeow berkata, Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah berkenaan telah sedia untuk digunakan dan akan diserahkan kepada KKM hari ini.

Bagaimanapun, katanya, pusat yang terletak kira-kira 500 meter dari Hospital Pulau Pinang itu akan beroperasi bergantung kepada keperluan dan ketetapan KKM.

Artikel Berkaitan:

Sebelum ini, pusat berkenaan menempatkan gelandangan di sekitar Georgetown sebagai sebahagian daripada usaha pematuhan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan melindungi golongan itu daripada dijangkiti Covid-19.

Sementara itu, Exco Kebajikan dan Alam Sekitar Pulau Pinang, Phee Boon Poh berkata, penyewa lot pejabat di Kompleks Masyarakat Penyayang yang kebanyakan digunakan sebagai pejabat NGO sudah diberi arahan supaya berpindah sehingga ke satu tarikh yang akan dimaklumkan kelak.

Katanya, ini bagi memastikan keselamatan semua pihak dan mengurangkan risiko jangkitan kepada pihak lain.